POLIS Daerah Padang Besar akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana kenderaan yang menyalahi undang-undang termasuk mempamerkan sikap samseng jalanan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Saifudin Aslin Abbas berkata, pihaknya akan mengambil tindakan kompaun serta-merta terhadap kenderaan yang menyebabkan berlakunya halangan lalu lintas atau menyebabkan kesesakan.
"Hasil pemeriksaan Polis Daerah Padang Besar mendapati punca kesesakan lalu lintas di pekan Padang Besar melibatkan lori kontena dan kenderaan perdagangan pada 17 Februari disebabkan peningkatan jumlah kenderaan yang ingin balik ke Thailand di samping beberapa masalah teknikal dan faktor jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, kesesakan itu menimbulkan keresahan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk setempat dan pengguna jalan raya lain.
Justeru, Saifudin berkata, bagi mengawal dan mengurangkan kesesakan, pihaknya melalui bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik daerah dan cawangan kereta peronda telah digerakkan untuk membuat kawalan dan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, polis turut mengadakan perbincangan dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di ICQ Padang Besar bagi mengatasi masalah tersebut.
"Hasil pemantauan dan kawalan yang dilakukan oleh pihak polis sehingga 4.30 petang ini (Sabtu) mendapati keadaan terkawal dan tiada kesesakan jalan raya di pekan Padang Besar namun pengguna jalan raya diseru untuk mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram