Lori terperangkap dalam runtuhan jambatan di Raub


  • Tular
  • Selasa, 22 Feb 2022

KEADAAN lori yang terjunam selepas berlaku runtuhan jambatan di jalan lama Bentong-Raub, Pahang pada Selasa. — Facebook

SEORANG pemandu lori yang membawa surat khabar lama cedera selepas lori yang dibawanya terperangkap dalam kejadian jambatan runtuh di jalan lama Bentong-Raub, Pahang pada Selasa.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 pagi dan pemandu lori tersebut, Chia Kein Bong, 30, mengalami kecederaan sebelum dihantar Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, kejadian jambatan runtuh itu berlaku dipercayai akibat hujan lebat sejak tengah malam Isnin hingga awal pagi Selasa.

Menurutnya, akibat kejadian, laluan tersebut ditutup di kedua-dua arah kepada semua jenis kenderaan.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub dalam satu kenyataan berkata, runtuhan itu disebabkan hujan lebat yang melanda jam 11.30 malam semalam sehingga jam 3 pagi Selasa.

Katanya, ia mengakibatkan jalan dan jambatan di Sungai Tras runtuh. Laluan berkenaan kemudiannya ditutup untuk semua kenderaan.

"Runtuhan itu membabitkan jalan sepanjang 20 meter, enam meter lebar dan sedalam lima meter.

"Orang ramai dinasihati menggunakan laluan alternatif. Pengguna dari Raub boleh menggunakan Jalan Bentong-Gua Musang dan Jalan Utama Mempaga ke Central Spine Road atau mengikut laluan Jalan Bentong-Raub Lama," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tular, raub, lori, jalan lama, pahang, surat khabar