Empat ‘pengawal keselamatan’ pecah masuk gudang di Bercham


  • 112
  • Khamis, 17 Feb 2022

GAMBAR dalang utama kes pecah masuk gudang tersebut. — Ihsan PDRM

SERAMAI empat lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai memecah masuk sebuah gudang di Bercham, Perak dan mencuri peralatan pembinaan membabitkan kerugian kira-kira RM800,000 dalam serbuan pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asistan Komisioner Yahaya Hassan, dalam serbuan pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, kesemua suspek berumur lingkungan 42 hingga 58 tahun yang menyamar sebagai pengawal keselamatan sedang memindahkan barangan curi ke dalam lori dan trak.

"Turut dirampas ialah kenderaan dan peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah serta barangan besi seberat 7.3 tan metrik," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Yahaya, gudang itu berada di kawasan terpencil yang jarang dilalui orang awam, sekali gus memudahkan lagi suspek melakukan kegiatan haram tersebut.

"Kesemua suspek direman hingga 22 Februari bagi membantu siasatan.

"Polis juga sedang mengesan seorang lagi suspek utama yang tidak berada di lokasi kejadian dikenali sebagai S.Yogentheran, dipercayai dalang kes berkenaan," katanya.

Ujar Yahaya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Asistan Superintenden (ASP) Norshaharah Marzuki di talian 0174817800 atau mana-mana balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram