Kes lelaki terbakar di Perlis, bomba kongsi kaedah paling efisien


  • 112
  • Khamis, 17 Feb 2022

ORANG ramai diminta jangan panik jika berdepan situasi seperti di Perlis.  — Facebook Kerteh

KEJADIAN seorang lelaki yang membakar diri dalam kereta di Jalan Kampung Syed Omar, di Kangar, Perlis pada malam Rabu mengakibatkan badannya melecur sebanyak 96 peratus.

Punca insiden itu berlaku kerana mangsa cuba membunuh diri dipercayai kecewa dengan tindakan bekas teman wanitanya yang sudah mempunyai kekasih baharu.

Kejadian itu tular di media sosial selepas sebuah rakaman menunjukkan lelaki berkenaan berjalan keluar dari keretanya dengan badan dikelilingi api.

Namun begitu, individu yang merakam itu dikecam oleh para warganet kerana mendakwa dia tidak membantu mangsa dan hanya merakam kejadian tersebut.

Mengulas kejadian itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kemungkinan individu itu dalam keadaan panik untuk menolong mangsa.

Oleh itu, Norazam berkongsi tindakan yang boleh dilakukan dan bagaimana cara untuk padamkan api di badan mangsa jika orang awam berjumpa dengan keadaan seperti sebegitu rupa.

Menurut Norazam, tindakan pertama yang boleh dilakukan ialah menggunakan peralatan api untuk membantu memadam mangsa namun jika alatan itu tiada, boleh menggunakan kain yang sudah dibasahkan.

"Pilihan kedua jika ada kain dalam kereta kita boleh digunakan. Yang lebih baik kain selimut atau kain tuala kerana kain itu tebal. Selimutkan mangsa dengan kain yang sudah dibasahkan. Elakkan daripada menggunakan kain linen kerana ia nipis," katanya kepada Majoriti.

Norazam berkata, kaedah paling efisien adalah kaedah rebah dan guling yang mana orang awam boleh meminta mangsa untuk baring dan berguling sehingga api pada badan mangsa terpadam.

"Paling terbaik jika tiada alat bantuan itu, minta mangsa berguling dalam api sehingga padam. Jika berguling badan boleh melecurlah akibatnya.

"Orang awam yang berada di sekitar mangsa pada ketika itu bolehlah sedaya upaya menggunakan kain baju atau bantal kecil yang ada dalam kereta untuk menepuk api pada mangsa.

"Kalau mangsa dalam kereta, cuba untuk telefon bomba sebab bahaya untuk kita bantu secara sendiri," katanya.

Malah, Norazam juga memberitahu jika seseorang itu dalam keadaan panik untuk membantu, boleh telefon pihak bomba terlebih dahulu sebelum membantunya.

Orang awam juga boleh menahan lori atau bas ekspres untuk meminta alat pemadam api kerana menurut Norazam dua kenderaan berkenaan sering membawa alatan kecemasan.

Dalam pada itu, dia juga mengesyorkan untuk mempunyai alatan pemadam api di setiap kenderaan demi keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram