Saya tidak seperti anak-anak lain — Saddil Ramdani


  • Podium
  • Isnin, 21 Feb 2022

SADDIL kini gembira beraksi bersama Sabah FC. — Facebook Sabah FC

PEMAIN sayap Sabah FC, Saddil Ramdani ternyata mempunyai kisah silam yang menyedihkan seperti bintang-bintang dunia bola sepak.

Kisahnya tidak ubah seperti bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo, yang pernah menceritakan detik dia meminta burger yang dibuang orang di sebuah restoran makanan segera sewaktu usia remajanya semata-mata mahu menahan lapar.

Ronaldo ketika itu beraksi bersama pasukan remaja Sporting Lisbon dan jauh daripada keluarganya. Beliau menyifatkan tempoh berkenaan adalah waktu sukar dalam hidupnya.

Begitu juga dengan Ramdani yang kini sudah memasuki musim kedua bersama skuad Borneo itu.

Dalam satu wawancara maya, pemain berusia 23 tahun itu menceritakan kisahnya menempuh cabaran hidup sebelum bergelar sebagai pemain bola sepak profesional.

Antara momen yang sukar dilupakan kata Ramdani adalah ketika mencari nafkah sendiri selepas ditinggalkan kedua ibu bapanya pada usia sembilan tahun.

"Saya sendiri tinggal bersama kakak dan adik tanpa ayah dan ibu yang berpisah.

"Jadi ibu yang kami dengan sekuat tenaga dia, memperhatikan anak-anaknya yang masih kecil.

"Saya tidak seperti anak-anak lain, ke sekolah dapat belanja, atau dihantar oleh orang tua.

"Mungkin hal-hal seperti itu kecil tapi ia membuatkan saya menjadi seorang lelaki yang harus kuat, hidup dengan keadaan ekonomi keluarga susah," katanya.

Tetapi baginya, momen paling diingati adalah ketika dia berusia membeli sepasang kasut bola.

"Dulu saya ingin sekali beli kasut seperti rakan-rakan lain tetapi tidak mampu.

"Kemudian saya jual jambu mete (jambu monyet), hasil jualan itu, saya beli kasut bola," katanya.

Sebagai bintang yang disayang penyokong Sabah FC, Ramdani ternyata tidak mengecewakan skuad The Rhinos apabila menyumbang lima gol dan lima bantuan gol sepanjang beraksi dalam 38 perlawanan bersama kelab itu.

Dengan usia yang masih muda, Ramdani berpeluang menimba banyak pengalaman berharga dari pemain berpengalaman di Sabah FC seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang tiba dari Kedah.

Selain itu, pengalaman ketua jurulatih, Ong Kim Swee juga pastinya dapat menyerlahkan lagi bakat Ramdani yang disebut-sebut sebagai antara pemain muda berbakat Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Saddil Ramdani, Sabah FC, kasut, bola,