KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) pada Isnin melancarkan Sekolahku Sejahtera sebagai rangka yang memayungi pelbagai tema, inisiatif dan program sedia ada berteraskan penerapan nilai murni.
Terdapat 14 elemen Sekolahku Sejahtera yang diketengahkan oleh kementerian berkenaan.
Elemen tersebut adalah terdiri daripada selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.
Namun menurut pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, elemen yang diperkenalkan memang sedia ada dalam kurikulum pendidikan negara ini.
"Contohnya, 'Sihat' memang ada dalam Pendidikan Kesihatan dan Jasmani (PJK). 'Artikulasi' memang ada dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
"Selain itu, 'Eksplorisasi' dan 'Rasional/logik' memang ada di dalam pendidikan Sains dan Matematik.
"Manakala 'Selamat' memang ada di dalam dokumen peraturan tatatertib sekolah.
"Di samping itu, 'Etika', 'Tekun','Teliti', 'Trampil', 'Empati', 'Harmoni' dan 'Adap Sopan' sudah ada dalam pendidikan moral, sisipan dokumen penerapan nilai murni dan Pendidikan Islam.
"Elemen 'Jati diri' ada dalam pendidikan Sejarah dan Bahasa Melayu.
"Ringkasnya, 14 elemen Sejahtera yang dilancarkan pada Isnin sebenarnya memang sedia ada dalam amalan pendidikan anak-anak kita," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Jelas Anuar lagi, KPM perlu memberi fokus kepada keberkesanan pelaksanaan kesemua elemen tersebut.
"Kajian-kajian pendidikan menunjukkan memang wujud ketidakberkesanan berkaitan pelaksanaan elemen nilai dan kesejahteraan di dalam sistem pendidikan negara kita.
"Isu silibus yang berat dan padat serta pembelajaran yang terlalu berpusat peperiksaan antara faktor utama yang menyebabkan usaha untuk membina kesejahteraan murid-murid terpinggir.
"Sepatutnya Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, mengambil peluang sesi pelancaran 'Sekolahku Sejahtera' pada Isnin untuk membentangkan 'Pelan Tindakan Kesejahteraan Murid' untuk dilaksanakan di semua sekolah secara lebih teratur dan mapan. Itu lebih baik," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram