TULAR di media sosial baru-baru ini apabila seorang guru merakam wajah salah seorang muridnya yang kurang berkemampuan untuk membeli pakaian sukan.
Perkongsian guru berkenaan yang dilihat mahu membantu muridnya itu menerima kecaman warganet.
Ada warganet yang menyifatkan tindakan guru berkenaan adalah tidak beretika dan melanggar profesionalisme sebagai seorang warga pendidik.
Mengulas berhubung isu tersebut, pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, tindakan segelintir guru merakam atau membuat siaran langsung (live) ketika menjalankan tugas rasmi adalah perilaku yang tidak beretika dan sepatutnya dielakkan.
"Apa lagi jika melibatkan murid-murid yang berada di dalam kelas. Privasi murid-murid mestilah dijaga.
"Sekolah kerajaan adalah kawasan yang digazetkan sebagai lokasi pihak berkuasa awam, bererti sebarang aktiviti merakam mestilah mendapat kebenaran dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh badan berkaitan," katanya kepada Majoriti.
Tambah Anuar, beliau menyarankan agar para guru yang terlibat agar berhenti daripada meneruskan perbuatan berkenaan.
"Kecuali mereka mendapat kebenaran daripada pihak yang diberikan kuasa untuk mereka berbuat demikian," ujarnya.
Menerusi rakaman video berdurasi dua minit 20 saat itu, guru terbabit bertanyakan soalan kepada pelajar berkenaan kerana dilihat sering tidak memakai pakaian sukan ketika kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).
Guru wanita berkenaan juga turut bertanya tentang pekerjaan ibu bapa murid tersebut sebelum memberitahu dia akan membelikan pakaian sukan buat pelajar lelaki terbabit.
Difahamkan, guru tersebut membuat video terbabit selepas murid itu dilihat tidak pernah memakai pakaian sukan setiap kali kelas PJK, sejak dua bulan dia mengajar di sekolah berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram