EKSKLUSIF

SKMM perkukuh 'senjata' lawan Macau Scam, halang hampir 1.6 billion panggilan


  • 112
  • Isnin, 21 Feb 2022

SKMM perhebatkan usaha lawan Macam Scam. - Gambar Hiasan (The Star)

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memperhebatkan usaha memerangi sindiket penipuan yang lebih dikenali sebagai Macau Scam melalui pengenalan halangan teknikal (technical barriers) yang berhasil menghalang hampir 1.6 bilion panggilan.

Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin dalam satu temu bual bersama Majoriti berkata, halangan teknikal tersebut yang pada permulaannya digelar “7 blocking rules” membolehkan panggilan daripada penjenayah ini dikenal pasti seterusnya dihalang secara automatik.

“SKMM sentiasa menjalankan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui melalui panggilan dan SMS, yang memberi kesan buruk kepada pengguna dan industri.

“Antara inisiatif utama termasuk penubuhan Rujukan Industri yang menggariskan peraturan sekatan untuk Pembekal Perkhidmatan Telekomunikasi (TSP) untuk mengurangkan bilangan panggilan yang mencurigakan daripada sampai kepada pengguna.

“Panggilan dari luar negara yang menepati ketujuh-tujuh kriteria tersebut akan dihalang,” katanya, namun tidak boleh mendedahkan kriteria itu untuk mengelakkan penjenayah ini daripada mengubah taktik mereka.



Menurut Zulkarnain, halangan teknikal yang diperkenalkan SKMM membolehkan panggilan daripada penjenayah dikenalpasti seterusnya dihalang secara automatik.

Inisiatif itu dijalankan dengan kerjasama TSP dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial polis (CCID).

CCID sebelum ini mendedahkan bahawa sehingga 2021, sebanyak 1,585 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian RM560 juta.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pula melaporkan menerima sebanyak 67,552 kes penipuan membabitkan kerugian bernilai RM2.23 bilion dari 2017 hingga 20 Jun 2021.

SC berkata, kes itu melibatkan penyamaran bank dan pihak berkuasa, serta penipuan e-dagang dan pelaburan.

Jelasnya, sejak 2018 hingga sekarang, lebih 1.6 bilion panggilan telahpun dihalang termasuk panggilan yang dibuat melalui Voice Over Internet Protocol (VoIP).

“Mereka menggunakan aplikasi VoIP yang membolehkan mereka “mengubah” nombor telefon mereka kepada nombor telefon tempatan, kadang mereka menyamar jadi polis, bank negara tapi sebenarnya panggilan ini datang dari luar negara.

“Bayangkan kita telah berjaya menghalang 1.6 bilion panggilan tapi masih ramai yang menerima panggilan daripada Macau Scam ini maksudnya masih banyak panggilan yang berjaya melepasi halangan teknikal yang diguna pakai,” katanya.

Justeru, menurut Zulkarnain, SKMM, kini telah menambah lima (5) lagi kriteria panggilan yang sering dibuat oleh penjenayah Macau Scam ini ke dalam halangan teknikal mereka.

Bagaimanapun, beliau mengakui tetap sukar bagi penyedia perkhidmatan untuk menghalang sepenuhnya panggilan tersebut justeru mereka menasihatkan pengguna supaya berwaspada dan tidak mengendahkan sebarang panggilan atau SMS mencurigakan yang meminta butiran peribadi.

“Jika kandungan itu menyinggung perasaan, mengancam atau tidak sesuai kepada penerima panggilan, segera buat laporan polis atau semak dengan Pusat Respons Penipuan CCID di talian 03-26101559 dan 03-26101599 yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari atau sahkan kesahihan panggilan tersebut dengan menghubungi nombor di belakang kad bank mereka.

“Selain itu, pengguna juga harus dididik tentang cara melaporkan dan menyekat panggilan/SMS untuk membantu meminimumkan percubaan selanjutnya daripada nombor tersebut,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram