Pesara di Kuantan lesap lebih RM52,000 terpedaya 'love scam'


  • 112
  • Jumaat, 04 Feb 2022

KES disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

SEORANG pesara kerugian RM52,300 akibat terpedaya dengan kegiatan Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial Facebook pada Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 74 tahun itu dikatakan telah dihubungi suspek dengan nama Nelson Michael Jr yang mendakwa dirinya berasal dari Amerika Syarikat namun bekerja di Miri, Sarawak dalam bidang cari gali minyak.

"Sepanjang perkenalaan, mangsa tidak pernah menemui suspek dan hanya berhubung dengan lelaki tersebut menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

"Suspek telah meminjam wang dari wanita itu dengan pelbagai alasan sebanyak tujuh kali dengan jumlah keseluruhan RM52,300 malah berjanji dengan mangsa mahu mengahwininya apabila memberi pinjam wang tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Mohd Wazir, suspek bagaimanapun tidak dapat dihubungi mangsa sejak 31 Januari lalu, iaitu selepas melakukan transaksi terakhir malah lelaki itu turut menyekat nombor telefon wanita berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang menyedari dirinya tertipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram