POLIS Sarawak mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpesona dengan gambar profil cantik atau tampan di media sosial, terutamanya ketika sambutan hari kekasih pada Isnin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supritendan Maria Rasid berkata, mereka juga dinasihatikan agar tidak mudah terpedaya dengan pujian atau pujuk rayu rakan di media sosial.
"Orang ramai perlu berhati-hati sekiranya terdapat komunikasi melibatkan wang, kerana penjenayah sedang masuk ke peringkat mencapai objektif untuk mendapatkan wang dengan menipu.
"Oleh itu, jangan sesekali dedahkan atau beri maklumat perbankan atau kewangan anda,” ujarnya menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Ahad.
Sementara itu, menurut Maria, empat kes penipuan ‘Love Scam’ melibatkan kerugian melebihi RM128,000 dilaporkan di Sarawak sepanjang Januari lalu.
Katanya, mangsa kes penipuan ‘Love Scam’ lazimnya berkenalan melalui media sosial apabila suspek menghubungi mereka dan memaklumkan akan datang ke Malaysia untuk berkahwin dengan mangsa.
"Selepas itu, ahli sindiket akan menyamar sebagai pihak berkuasa di lapangan terbang dan memaklumkan kekasih mangsa ditahan, kerana membawa mata wang asing yang banyak.
"Mangsa kemudian diminta membuat bayaran ke akaun individu tidak dikenali bagi melepaskan kekasih mereka daripada tahanan pihak berkuasa. Selepas itu, kekasih media sosial tersebut tidak dapat dihubungi mangsa,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram