Pensyarah wanita di Kuantan diperdaya 'pegawai LHDN'


  • 112
  • Jumaat, 07 Jan 2022

POLIS berkata, mangsa dipercayai telah menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN.

SEORANG pensyarah wanita di Kuantan, Pahang berputih mata apabila wang simpanan sebanyak RM300,000 dipindahkan ke beberapa akaun bank tidak dikenali atas arahan seseorang yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mangsa berusia 49 tahun diarah berbuat demikian oleh 'pegawai LHDN' terbabit kononnya atas faktor keselamatan berikutan namanya digunakan pihak lain dalam urusan pendaftaran sebuah syarikat menyebabkan dia terpaksa membayar tunggakan cukai mencecah RM33,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, nasib menimpa mangsa itu berlaku bermula pada 11 Disember lalu selepas menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN dan memaklumkan mengenai tunggakan cukai syarikat tersebut.

Beliau berkata, mangsa yang menafikan kaitannya dengan syarikat itu telah diarahkan supaya memindahkan wang simpanannya ke akaun bank yang diberikan bagi tujuan keselamatan dan semakan Bank Negara.

"Mangsa akur apabila membuat 19 transaksi pindahan wang daripada akaun banknya ke beberapa akaun bank atas nama individu lain dalam tempoh 11 Disember tahun lalu hingga kali terakhir pada Selasa lalu melibatkan jumlah keseluruhan RM300,000.

"Selepas selesai membuat pindahan wang seperti diarahkan, mangsa mula curiga dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada Khamis," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Wazir berkata, dalam kes tersebut, mangsa dipercayai telah menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lagi pensyarah wanita berdepan nasib sama apabila kerugian RM50,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan didalangi individu menyamar sebagai pegawai polis.

Menurutnya, mangsa berusia 34 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Khamis lalu.

"Wanita itu dimaklumkan bahawa dia dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam kes kegiatan pengubahan wang haram didalangi seorang lelaki yang telah ditangkap.

"Mangsa telah diarah menyerahkan maklumat perbankan internetnya termasuk nama pengguna dan kata laluan bagi tujuan siasatan," katanya.

Mohd Wazir berkata, mungkin kerana terlalu panik, mangsa akur dan menyerahkan maklumat itu seperti yang diarahkan.

"Mangsa kemudian menghubungi pihak bank untuk membuat semakan akaun banknya pada hari yang sama dan mendapati jumlah simpanan yang sepatutnya RM57,556 hanya berbaki RM7,556.

"Syak telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis juga di Balai Polis Kuantan pada Khamis," katanya.

Tambah beliau, pihaknya membuka kertas siasatan terhadap dua kes penipuan ke atas dua pensyarah wanita itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Macau Scam, mangsa, pensyarah, LHDN, polis