Biadab! Gegantung bendera KL dipotong, bangku diconteng 'Babi'


  • Tular
  • Sabtu, 19 Feb 2022

ANTARA bendera Kuala Lumpur dan bendera Wilayah Persekutuan yang dipotong oleh individu tidak bertanggungjawab. — Facebook

MESKIPUN negara telah mencapai lebih 60 tahun kemerdekaan, namun pemikiran sesetengah penduduk di negara ini seolah-olah masih dijajah.

Perkara ini dibuktikan menerusi kegiatan vandalisme yang ditunjukkan, apabila kerosakan harta benda awam menjadi mangsa keganasan segelintir individu tidak bermoral.

Terbaharu, pada Selasa lalu, gegantung bendera Wilayah Persekutuan dan bendera Kuala Lumpur yang dipasang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dipotong tanpa rasa bersalah di sekitar ibu negara.

template - 2022-02-19T122315.294

ANTARA bendera Kuala Lumpur yang dipotong di sekitar ibu negara. — Facebook

Kesal dengan perkara itu, DBKL menerusi perkongsian di laman Facebook berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku, apatah lagi Kuala Lumpur sudah mencapai usia 50 tahun sebagai sebuah bandara raya.

"Namun, ada segelintir golongan yang tidak bermoral masih lagi melakukan kerja-kerja yang tidak bertanggungjawab," katanya.

DBKL turut berkongsi gambar-gambar vandalisme yang dilakukan oleh golongan berfikiran tidak matang tersebut.

Dua hari selepas itu, sebuah taman rekreasi di Taman Dato' Senu, Sentul, Kuala Lumpur turut tidak terkecuali dicemarkan dengan keganasan harta benda.

Pengguna Facebook, Wan Najlin llyasa' menerusi perkongsiannya memaparkan,sebuah gambar bangku di taman tersebut diconteng dengan perkataan 'Babi', yang semestinya dianggap tidak sopan oleh masyarakat di negara ini.

273894805_10228913115800837_2111113725885639378_n

GAMBAR tular berkaitan perkataan 'Babi' yang diconteng di sebuah bangku. — Facebook

"Berpesan-pesan pada ahli keluarga masing-masing. Janganlah rosakkan harta awam.

"Satu-satunya taman yang selesa di Dato' Senu jadi pencemaran mata pula," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram