Dua mak nyah ‘terlampau’ di laman Istana Johor positif ketamin


  • 112
  • Jumaat, 18 Feb 2022

KEDUA-DUA individu berkenaan mengambil gambar dalam keadaan tidak sopan hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene, Johor Bahru, Johor. — Majoriti

POLIS Johor menahan dua lelaki pada Jumaat berhubung dakwaan berpakaian wanita dan mengambil gambar kurang sopan di hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene, Johor Bahru, Johor serta memuat naiknya menerusi laman sosial Facebook.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, gambar tersebut kemudiannya dikongsikan semula oleh pengendali Facebook Persatuan Bangsa Johor daripada pemilik akaun Facebook Bryan Wee dan Deachon Chai.

Ujarnya, tangkapan dilakukan kira-kira 12.30 hingga 1.30 tengah hari Jumaat di sekitar Taman Nusa Bestari dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Johor Bahru, Johor.

"Kedua-duanya akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menimbulkan kegusaran awam dan menggugat keharmonian negara, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Screenshot 2022-02-18 183240

GAMBAR salah seorang suspek yang ditahan pada Jumaat. — Ihsan Polis Johor

Tambah Kamarul Zaman, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis ketamin dan mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Justeru, polis menyeru orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat keselamatan serta ketenteraman awam," katanya.

Terdahulu, tular menerusi media sosial beberapa keping gambar kedua-dua lelaki berkenaan berpakaian wanita dan kurang sopan di hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram