Suspek wanita rempuh kereta curi Honda City, ada 14 rekod jenayah


  • 112
  • Khamis, 17 Feb 2022

SUSPEK (kiri) yang melarikan kereta Honda City itu mempunyai 14 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. — Facebook

POLIS mendapati kereta jenis Honda City berwarna putih yang tular dalam kejadian langgar lari di lampu isyarat Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada petang, Khamis dilarikan suspek wanita daripada sepasang suami isteri yang sedang mengangkat barang untuk anak mereka di Kolej Vokasional Setapak.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada jam kira-kira 2.30 petang di hadapan kolej berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, pengadu bersama isteri telah keluar dari kereta tanpa mematikan enjin kenderaan sebelum suspek wanita tersebut melarikan kereta terbabit.

"Mereka sedang mengangkat barang untuk anak mereka. Mangsa dapati keretanya telah dibawa lari oleh suspek wanita itu menghala ke pusat bandar.

"Mangsa kemudiannya meminjam motosikal milik pengawal keselamatan di situ untuk membuat laporan polis. Apabila tiba di lampu isyarat hadapan Setapak Central, pengadu mendapati keretanya mengalami kemalangan," katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.

Ashari berkata, pengadu dapati suspek telah ditahan oleh orang awam dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Hasil semakan didapati suspek berumur 38 tahun dan mempunyai 14 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah," katanya.

Ketika ditanya apakah motif suspek melarikan kereta mangsa, Ashari berkata, siasatan masih dibuat pihaknya.

"Ujian saringan air kencing juga masih belum diperoleh," ujarnya.

Beliau berkata, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan video tersebut yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram