Penunggang 'wheely' bersama kanak-kanak kena cekup, dapat tiga surat saman


  • 112
  • Jumaat, 18 Feb 2022

TANGKAP layar video seorang lelaki (kanan) membuat aksi 'wheely' sambil dibonceng oleh kanak-kanak di hadapannya.

SEORANG lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya sambil membawa kanak-kanak di Skudai, Johor akhirnya mengundang padah apabila dia ditahan polis pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan video tular berkenaan pada jam 3 petang pada Khamis.

Menerusi video tular berdurasi 36 saat itu, lelaki tersebut didapati menunggang motosikal jenis Honda EX5 secara berbahaya di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas, Skudai, Johor.

"Lelaki tempatan bersama seorang kanak-kanak perempuan yang membonceng di hadapan motosikal sambil membuat aksi wheely, dengan cara mengangkat tayar hadapan motosikal.

"Tujuan aksi tersebut dibuat adalah untuk meraih perhatian warganet," katanya dalam satu kenyataan.

Rupiah berkata, aksi tersebut dirakam sendiri oleh suspek menggunakan telefon bimbitnya menerusi bantuan rakan sebelum dimuat naik ke akaun Facebook milik Hafiz Sim pada 7 malam, 15 Februari lalu.

Katanya, penunggang motosikal berkenaan ditahan bagi membantu siasatan manakala barang kes dirampas.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

"Tiga saman dikeluarkan iaitu nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar," katanya.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak memandu kenderaan dan melakukan aksi-aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram