Wanita larikan Honda City ‘lalok’ hisap gam


  • Tular
  • Jumaat, 18 Feb 2022

TANGKAP layar video menunjukkan suspek wanita curi kereta Honda City, terdahulu menghisap gam di dalam sebuah bas pada Khamis.

SUSPEK wanita yang ditahan polis kerana melarikan kereta jenis Honda City berwarna putih dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang di hadapan Kolej Vokasional Setapak, Kuala Lumpur pada Rabu dipercayai 'lalok' hisap gam sebelum mencuri kenderaan terbabit.

Menerusi satu video tular yang dikongsikan pengguna Facebook, Aiman Danish, wanita itu yang menaiki sebuah bas kelihatan khayal dan memegang plastik berisi tin gam.

Wanita berusia 38 tahun itu kemudian dihalau turun daripada kenderaan terbabit selepas didapati leka menghisap bahan itu.

"Hisap gam kan, cepat turun," kata individu yang dipercayai merakam video berkenaan.

Menerusi rakaman yang dimuat naik di Facebook Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia itu lagi, wanita berkenaan bagaimanapun enggan turun dan melarikan diri ke bahagian tempat duduk belakang bas.

Difahamkan, tidak beberapa lama kemudian, wanita itu dikatakan melarikan kereta Honda City dan terbabit dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri sebelum ditahan orang awam.

Suspek juga kini sudah berada dalam tahanan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah dalam kenyataan pada malam Khamis berkata, ujian saringan air kencing suspek masih belum diperoleh.

"Motif suspek melarikan kereta terbabit juga sedang disiasat," katanya yang memaklumkan wanita tersebut juga memiliki 14 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kes jenayah.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram