Kontroversi bidaan no plat JPJ selain BRA


  • Massa
  • Jumaat, 18 Feb 2022

PADA Februari 2021, JPJ Kedah mengeluarkan nombor pendaftaran KFC yang mana cukup sinonim dengan jenama popular restoran makanan segera dan pasukan bola sepak Kedah. — Sinar Harian

BIDAAN nombor pendaftaran kontroversi kenderaan siri BRA dijangka akan diteruskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada April walaupun mendapat kecaman hebat dari warganet di media sosial.

Gabungan tiga abjad tersebut tular dan mendapat kritikan oleh warganet kerana sebutannya menyerupai pakaian dalam wanita dalam Bahasa Inggeris dan berbaur seksis.

Kesanggupan segelintir pihak membuat bidaan tinggi bagi mendapatkan nombor istimewa berkenaan juga dipercayai sedikit sebanyak menjadi punca kontroversi itu berlaku.

Sebelum ini, ada beberapa kontroversi yang turut menarik perhatian umum, dan berikut merupakan beberapa isu kontroversi yang pernah terpalit dengan jabatan itu berhubung isu nombor pendaftaran kenderaan:

1) Nombor pendaftaran kenderaan KFC

  • Pada Februari 2021, JPJ Kedah mengeluarkan nombor pendaftaran KFC yang mana cukup sinonim dengan jenama popular restoran makanan segera dan pasukan bola sepak Kedah.
  • Perkara itu menjadi antara faktor nombor kenderaan tersebut mendapat permintaan yang tinggi.
  • Pengeluaran nombor pendaftaran tersebut berhasil mengutip sebanyak RM2,018,364 dengan plat KFC 7 muncul bidaan tertinggi iaitu sebanyak RM52,000 diikuti KFC 9 sebanyak RM48,000.

2) Nombor pendaftaran kenderaan berunsur politik

  • Terdapat siri plat yang digemari penyokong parti politik tertentu seperti Barisan Nasional (BN) di Selangor, Persatuan Cina Malaysia (MCA) di Melaka serta Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang.
  • Pada 2018, JPJ mendedahkan nombor siri plat BN hilang RM100 juta hasil perolehan membida pembidaan nombor pendaftaran khas kenderaan di bawah pentadbiran BN.
  • Ketirisan berlaku apabila kerajaan BN didakwa menjual nombor plat khas kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat pada harga RM1 juta untuk setiap siri.
  • Selepas parti politik BN, kontroversi nombor pendaftaran kenderaan dengan abjad 'MCA' juga menjadi kontroversi apabila dikatakan nombor itu hanya untuk anggota parti MCA.

3) Kontroversi nombor pendaftaran kenderaan WWW1

  • Kontroversi plat kereta WWW1 bermula apabila JPJ membuka tender kepada orang ramai untuk membida nombor plat kereta yang dikira istimewa pada tahun 2012.
  • WWW itu bermaksud "World Wide Web" dan ramai pihak termasuk VIP, sultan, raja-raja, menteri dan ahli perniagaan ingin membida plat kereta Wilayah Persekutuan itu.
  • Akhirnya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah berjaya membida plat WWW1 dan memasangnya pada kereta Proton Satria Neo warna jingga milik baginda.
  • Tokoh wibawa PAS, Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga bekas Menteri Besar Perak pada waktu itu telah mengkritik bidaan tersebut menerusi penulisan di Twitter dengan hantaran berbunyi, "RM520,000 itu sepatutnya boleh digunakan untuk membantu rakyat miskin di Johor mahupun membina lagi 20 rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT)."
Dalam pada itu, bagi isu nombor pendaftaran kontroversi kenderaan siri BRA itu, timbul persoalan adakah JPJ akan meneruskan bidaan walaupun mendapat kritikan hebat dalam kalangan orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram