SEBUAH video tular di media sosial memaparkan kekecohan dalam kalangan orang awam di Pusat Beli Belah Pandan Kapital, Pandan Indah, Kuala Lumpur ekoran insiden kes pukul terhadap pengawal keselamatan.
Berdasarkan video yang dihantar oleh pengguna TikTok, Malaya Mobile menunjukkan pengawal keselamatan rebah dan mukanya dipenuhi darah selepas dibelasah oleh seorang pengunjung lelaki pusat beli-belah itu.
Sebelum insiden itu berlaku, lelaki berkenaan didakwa bertegas tidak ingin mengimbas aplikasi MySejahtera sehingga dihalang oleh pengawal keselamatan itu daripada memasuki premis.
"Masuk tidak mahu imbas, last belasah pengawal keselamatan sampai tumbang," dakwa Malaya Mobile.
Renteten insiden itu, orang ramai mula berkumpul di tempat kejadian kerana membela nasib pengawal keselamatan itu yang teruk dibelasah oleh lelaki berkenaan.
Kebanyakan warganet di laman media sosial rata-rata berasa simpati dengan pengawal keselamatan itu dan berharap pihak polis akan membuat tindakan susulan insiden itu.
"Bawa ke polis saja. Mencederakan orang ketika bertugas," kata pengguna TikTok, Harris Photografer.
"Senang cerita, lapor polis saja saksi ada. Yang tumbuk ada, yang kena tumbuk ada. Lengkap pergi lapor polis nanti tahu siapa yang benar, " kata satu lagi pengguna TikTok, guaniz5.
Dalam pada itu, terdapat juga beberapa warganet yang sempat berkongsi pengalaman pengawal keselamatan seakan dipandang rendah oleh masyarakat.
"Selalu saja nampak orang kita suka sangat tengking-tengking pengawal keselamatan dalam pusat beli-belah. Mereka buat kerja mereka pun kena marah. Mentang-mentang mereka pendatang asing," komen Mahirah.
"Saya kerja pengawal keselamatan kebanyakannya orang pandang kami ni rendah sangat. Kami bekerja ikut arahan bukan suka-suka nak tahan orang. Kami cari makan, bukan cari pasal," kata fizz biey yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam kenyataannya berkata, hasil siasatan awal polis mendapati punca sebenar kejadian disebabkan perasaan tidak puas hati dua suspek terhadap pengawal keselamatan terbabit kerana tidak dibenarkan meletakkan motosikal di hadapan pintu bangunan berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya sudah mengenal pasti kedua-dua suspek tempatan terbabit yang masing-masing berusia 31 dan 33 tahun, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram