
TAN Sri Annuar Musa meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita mengenai kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melainkan ia berdasarkan sumber keluarga atau hospital secara rasmi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu sebaliknya meminta orang ramai mendoakan agar ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan rawatan Dr Mahathir di Institut Jantung Negara (IJN) ketika ini, agar negarawan itu segera sembuh.
TANGKAP layar hantaran di laman Twitter Annuar, yang meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak rasmi berkaitan status kesihatan Dr Mahathir.
"Hormati situasi keluarga Tun Dr Mahathir saat ini," katanya dalam ciapan di laman Twitter pada Ahad.
Sejak Sabtu, pengamal media mula berkumpul di perkarangan IJN bagi mendapatkan perkembangan terkini status kesihatan Dr Mahathir.
Namun, anak Ahli Parlimen Langkawi itu, Datin Paduka Marina Mahathir memaklumkan, keadaan bapanya kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Januari lepas.
Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari, dan beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut berkenaan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Januari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram