Tun M dalam keadaan stabil — Marina


  • Primer
  • Sabtu, 22 Jan 2022

MAHATHIR kini menjalani rawatan di IJN.

KEADAAN kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan stabil, kata anaknya perempuannya, Datin Paduka Marina Mahathir.

Dalam satu kenyataan ringkas, Marina berkata, ayahnya itu dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sejak dua hari lalu lanjutan daripada rawatan prosedur elektif yang berjaya dilaksanakan pada 8 Januari.

"Keadaan beliau kini stabil dan memberi respon yang baik kepada rawatan tersebut.

"Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali serta keluarga memohon agar rakyat mendoakan supaya beliau segera sembuh sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu kesihatan bekas perdana menteri itu menjadi tanda tanya selepas beliau dikatakan dimasukkan semula ke IJN.

Malah pengamal media juga mula 'berkampung' di hadapan IJN pada Sabtu bagi mengikuti perkembangan kesihatan Ahli Parlimen Langkawi tersebut.

Difahamkan bahawa Mahathir kini menerima rawatan di unit rawatan koronari (CCU) institusi perubatan berkenaan.

Media turut difahamkan pihak IJN akan mengeluarkan kenyataan berhubung kesihatan Mahathir dalam masa terdekat.

Pada 16 Disember tahun lalu, Mahathir dimasukkan ke IJN buat kali pertama bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan dibenarkan keluar hospital kira-kira seminggu kemudian.

Beliau bagaimanapun dimasukkan semula IJN untuk kali kedua pada 7 Januari lalu bagi menjalani prosedur perubatan elektif di hospital berkenaan. Beliau dibenarkan keluar pada 13 Januari lepas.

Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu berusia 97 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mahathir Mohamad, IJN, rawatan