Cadangan kurangkan had laju perlu penelitian — Wee


  • Primer
  • Jumaat, 21 Jan 2022

MIROS sebelum ini mencadangkan supaya had laju 30 km/j ditetapkan bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung. — The Star

KEMENTERIAN Pengangkutan akan memanggil pemain industri berkaitan untuk berbincang mengenai cadangan supaya penetapan had laju kenderaan tidak melebihi 30 kilometer sejam (km/j) dikenakan di kawasan perumahan, bandar serta kampung untuk tujuan keselamatan, dan 50 km/j bagi zon lain.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, cadangan itu memerlukan perbincangan dan penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan dicapai.

“Saya ada dengar cadangan itu. Saya akan panggil semua (pemain industri) untuk mengadakan perbincangan kerana ia melibatkan stakeholders (pemegang taruh). Kedua, ada pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga yang telah usulkan supaya kita dapat kurangkan kadar had laju di Malaysia ini.

“Namun begitu, kami akan tetap mengimbangi semua faktor itu dan kita akan lihat semua cadangan serta sudut bagi mencari jalan penyelesaiannya,” kata presiden MCA itu ketika ditemui di majlis kutipan derma untuk pembinaan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampus UTAR Kampar, di Kampar, Perak pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) supaya had laju 30 km/j ditetapkan bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung, sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalan raya kebangsaan untuk tahun 2021 hingga 2030. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Wee Ka Siong, UTAR, derma, MCA, MIROS, had laju