ISU penggunaan RFID di plaza tol masih lagi menjadi perdebatan dalam kalangan pengguna lebuh raya.
Ada yang bersetuju supaya RFID dilaksanakan, namun ada juga yang masih menganggap sistem itu belum cukup matang untuk diaplikasikan secara penuh.
Bagi pengguna media sosial Facebook yang menggunakan nama Saif Suhairi, dia berkongsi pengalamannya menggunakan tol di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Saif, RFID juga digunakan di plaza tol tetapi ada beberapa ciri yang membezakan tol di AS dan di negara ini.
"Di sini (AS) kami menggunakan alat pengesan (transponder) yang sama seperti Smart TAG iaitu EZ Pass yang mana duit perlu ada di dalam akaun dan bayaran tol akan ditolak secara automatik.
"Sistem ini juga menggunakan RFID yang berfungsi untuk mengesan maklumat kenderaan dengan alat pengesan (sensor) yang ada," katanya.
Namun kata Saif, kebanyakan lebuh raya di AS tidak mempunyai plaza tol yang besar dan hanya diletakkan tiang tinggi yang terdapat kamera.
Had laju pemanduan juga katanya tidak boleh lebih 100 kilometer sejam dan setiap kali lalu, alat pengesan akan menolak duit di dalam akaun secara automatik.
"Kamera pula digunakan untuk mengambil gambar nombor plat jika kenderaan itu tidak mempunyai baki dalam akaun dan satu surat akan dihantar dalam masa beberapa hari untuk kita menjelaskan hutang.
"Pembayaran hutang tol itu pula boleh dilakukan menerusi transaksi atas talian atau terus menambah duit ke dalam akaun sahaja," katanya.
Jelas Saif lagi, ada beberapa kelebihan sistem tol yang digunakan di AS iaitu dapat mengelakkan kesesakan jalan raya.
Selain itu, pengguna juga tidak perlu risau sama ada baki dalam akaun cukup atau tidak kerana wang boleh ditambah secara dalam talian.
Tambahnya, alat pengesan juga jarang dilaporkan rosak dan sekiranya berlaku, kamera yang terdapat di tiang boleh digunakan sebagai alat pengesan kedua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram