Lori terseret, nyaris rempuh kereta di Johor Bahru


  • Tular
  • Ahad, 02 Jan 2022

TANGKAP layar rakaman video tular menunjukkan keadaan lori yang hampir merempuh sebuah kereta selepas hilang kawalan dalam kejadian pada Sabtu. — Facebook

PEMANDU sebuah kereta berdepan detik cemas selepas kenderaan dinaiki mereka hampir dirempuh sebuah lori yang berpusing laju hingga memasuki laluan bertentangan arah dalam kejadian dipercayai di Johor Bahru, Johor.

Menerusi satu rakaman video kamera papan pemuka yang dikongsikan seorang pengguna Facebook, Zaidan Jb menunjukkan sebuah lori berwarna biru datang dari arah berlawanan sebelum tiba-tiba hilang kawalan dipercayai akibat jalan licin ekoran hujan lebat yang melanda.

KLIP video tular menunjukkan keadaan lori yang hampir merempuh sebuah kereta selepas hilang kawalan dalam kejadian pada Sabtu. — Facebook

Rakaman klip berkenaan kemudian menunjukkan lori itu laju berpusing hingga memakan pembahagi jalan sebelum terseret dan hampir merempuh kereta terbabit dalam kejadian pada Sabtu.

Suara dua orang penumpang dalam kenderaan itu jelas menunjukkan mangsa berada dalam situasi panik dan mencemaskan apabila melihat badan lori itu hampir melanggar kereta mereka.

Bahkan bunyi brek lori itu jelas kedengaran ketika kenderaan berkenaan sedang diperlahankan oleh pemandunya.

Rakaman seterusnya menunjukkan kereta mangsa segera diundurkan ke belakang supaya ada jarak dengan lori terbabit.

Pemandu lori berkenaan juga dilihat keluar dan berjalan ke arah kereta mangsa dengan melambai-lambaikan tangannya sebagai tanda memohon maaf atas insiden tersebut.

ss komen

TANGKAP layar komen yang ditinggalkan netizen terhadap video tular tersebut. — Facebook

Video berdurasi 42 saat itu kemudian tular sejak pagi Ahad selepas dikongsikan beberapa kumpulan Facebook lain dan memperoleh sejumlah 2,700 perkongsian.

Seorang pengguna Facebook, Tuan Azrin berkata, lori itu bernasib baik kerana tidak membawa muatan berat yang mungkin boleh mengakibatkan situasi lebih buruk.

"Nasib lori kosong, kalau ada beban memang mau luncur terus. Kalaua ada isi (muatan), tidak akan jadi macam itu. Sebab kosong, lori tersebut menggelungsur. Brek makan sebelah tu," tulisnya.

Sementara itu, Mohd Syukri Ngah meninggalkan komen dengan mengatakan jalan licin gara-gara hujan yang turun mungkin menjadi faktor lori tersebut hilang kawalan.

"Jalan licin, brek lori tak sama dengan brek kereta. Hati-hati apabila follow kenderaan berat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram