Kes tembak mati di Kuching, polis sahkan suspek memandu secara berbahaya


  • 112
  • Khamis, 16 Dis 2021

SUSPEK lelaki tempatan berumur lingkungan 24 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian. — Facebook

TINDAKAN anggota polis melepaskan tembakan ketika cuba menahan sebuah kereta di Jalan Simpang Tiga di Kuching malam Rabu adalah kerana kereta itu dipandu dalam keadaan berbahaya, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

"Lebih kurang 7.20 malam di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga, anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching melepaskan tembakan semasa cuba menahan sebuah kereta Proton Saga warna kelabu yang mencurigakan dan dipandu dalam keadaan bahaya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata pegawai perubatan mengesahkan pemandu kereta itu iaitu lelaki tempatan berumur lingkungan 24 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, siasatan kes itu akan dilakukan menyeluruh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Terdahulu Majoriti melaporkan seorang lelaki dipercayai mati ditembak selepas dipercayai cuba mengelak dan merempuh anggota polis kira-kira jam 7.40 malam di Jalan Simpang Tiga, Kuching, Sarawak pada malam Rabu.

Difahamkan, suspek yang memandu Proton Saga lama itu telah diarahkan oleh polis untuk berhenti bagi pemeriksaan.

Dia bagaimanapun tidak mengendahkan arahan itu dan memecut laju, melanggar beberapa kenderaan di lampu isyarat Jalan Simpang Tiga di sini.

Beberapa anggota polis cuba mendekati kenderaan itu untuk menahan suspek tetapi dia dikatakan cuba merempuh mereka untuk cuba melarikan diri, menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, Sarawak, rempuh, mangsa, tembak,