SEORANG pengguna Facebook kesal apabila golongan guru dibebani dengan kerja-kerja bukan hakiki dan luar di bidang perguruan.
Menyifatkan sistem pendidikan di negara ini semakin mengarut, Said Azlan mendakwa, guru-guru ketika ini dikehendaki mengukur indeks jisim badan atau body mass index (BMI) murid.
"Lepas tu, apa? Katakan jumpa 10 orang budak obesiti dalam satu kelas, cikgu nak kena buat apa pula?
"Kena pantau pemakanan budak-budak tu? Kena ajak budak-budak tu bersenam empat kali seminggu? Kena bawa budak-budak tu check (periksa) kesihatan berkala?
"Ke macam mana? Saya tak faham langsung dengan hal ini. Tolong betulkan kalau saya salah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Menafikan beliau berniat untuk membela para guru meskipun berkawan dengan ramai daripada golongan itu, Said Azlan menegaskan, isu seperti kesihatan, obesiti, pantau pemakanan, bersenam dan bawa anak-anak berjumpa doktor berkala merupakan tugas ibu bapa.
Beliau turut hairan apabila beberapa masalah lain yang timbul sebelum ini membabitkan guru dan murid masih belum diselesaikan.
Katanya, ini termasuk masalah beg berat, subjek banyak serta silibus tinggi dan padat.
"Ni tambah pula kira BMI, kaji obesiti semua yang sememangnya dah luar bidang guru.
"Bagi jelah cikgu-cikgu mengajar macam biasa. Benda yang tak sepatutnya masuk dalam sekolah, jangan masukkan.
"Jangan tambah beban guru dan jangan jadikan anak-anak kami ni bahan ujikaji. Boleh tak?" soalnya.
Sebelum ini, BMI murid-murid berusia lima hingga sembilan tahun akan diperiksa bermula tahun akademik 2022/2023.
Kementerian Pendidikan akan menjalankan program yang dikenali sebagai BMI 5-9T, bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan murid sekolah.
“Kementerian akan melaksanakan BMI 5-9T dua kali setahun, dengan ujian pertama dijalankan pada bulan ketiga selepas bermulanya sesi persekolahan, berdasarkan kalendar akademik.
“Ujian kedua akan dijalankan lima bulan selepas ujian pertama.
“Program ini juga bertujuan untuk membantu murid menyedari kepentingan memiliki komposisi badan yang ideal, melakukan senaman secara berkala dan mengamalkan pemakanan sihat untuk kesejahteraan mereka,” kata Ketua Pengarah Pendidikan Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid dalam satu Pekeliling yang dimuat naik di laman web kementerian.
Pekeliling itu dikeluarkan pada 23 Disember 2021.
Pelaksanaannya akan bermula pada hari pertama tahun akademik sekolah 2022/2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram