INSTITUSI pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang terkesan akibat banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) hanya akan dibuka semula selepas ia sedia beroperasi.
KPM memaklumkan terdapat 18 sekolah masih dinaiki air, 87 dijadikan PPS serta lapan yang pulih banjir namun masih belum bersedia untuk beroperasi buat masa ini.
"KPM akan terus memantau dan mengemas kini pada setiap Rabu senarai institusi pendidikan yang dilanda banjir atau yang dijadikan sebagai PPS.
"Perubahan senarai yang dikeluarkan oleh KPM adalah tertakluk kepada situasi semasa bencana banjir,” ujarnya menerusi kenyataan pada Isnin.
Senarai tersebut boleh diakses melalui laman sesawang KPM di https://www.moe.gov.my/.
Tambah KPM, pengoperasian institusi pendidikan yang selesai dibersihkan dan bersedia untuk kembali beroperasi akan bermula pada Ahad atau Isnin minggu persekolahan berikutnya.
Institusi pendidikan bawah KPM merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru serta terpakai kepada sekolah swasta yang berdaftar di bawah KPM.
Tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 3 2021/2022 adalah pada 9 Januari bagi negeri Kumpulan A manakala 10 Januari bagi negeri Kumpulan B. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram