Jangan jadikan sistem pendidikan 'tikus makmal'


  • Massa
  • Jumaat, 31 Dis 2021

PdPR perlu tetap diteruskan walaupun Covid-19 belum pasti kesudahannya.

LAKUKAN perbincangan yang melibatkan kementerian berkaitan dan jangan jadikan isu pendidikan sebagai 'tikus makmal' untuk dilakukan eksperimen.

Itu yang ditegaskan oleh Pengerusi Majlis Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Tarmizi A Razak berkaitan dengan isu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan kaedah penggiliran sekolah.

1048195

PENGERUSI GPMS, Mohd Tarmizi A Razak. — Facebook

Menurut Mohd Tarmizi, PdPR tidak dinafikan sebagai sesuatu yang perlu dilakukan apatah lagi negara sedang menuju ke arah negara maju.

“PdPR adalah sesuatu yang memang perlu dilakukan tetapi sebenarnya masih memerlukan solusi yang lebih baik daripada kementerian berkaitan.

“Kementerian berkaitan sepatutnya berbincang dan bekerjasama antara satu sama lain supaya pelaksanaan PdPR dapat dijalankan dengan baik tanpa ada jurang di antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Macam saya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Kudung, Segamat, Johor, capaian internet di sini memang tiada.

“Kita tidak mampu lakukan sesi pembelajaran secara maya dan kami terpaksa menyediakan satu modul baru sebagai jalan alternatif kepada PdPR,” katanya kepada Majoriti.

Mohd Tarmizi berkata, pihak yang berkaitan juga sepatutnya duduk bersama-sama untuk berbincang sama seperti mereka berusaha bersama untuk mengatasi masalah Covid-19.

Apa yang penting, golongan pelaksana iaitu guru perlu ada bersama untuk duduk dan berbincang mengenai isu pendidikan.

“Perbincangan secara terbuka kena ada kerana pandangan daripada golongan pelaksana perlu diutamakan berbanding mereka yang tidak berada di lapangan.

“Kalau ambil pandangan daripada pihak luar, mereka tidak tahu apa sebenarnya masalah yang ada di sekolah,” katanya.

Tambahnya lagi, PdPR perlu tetap diteruskan walaupun Covid-19 akan berakhir tetapi penambah baikan juga perlu dilakukan untuk memastikan persediaan itu cukup untuk anak-anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram