KERAJAAN perlu mengutamakan pelaburan kepada pendidikan bagi memastikan Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dapat diteruskan.
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, banyak negara maju yang membuat pelaburan besar dalam sistem pendidikan mereka.
DR Anuar Ahmad berharap kerajaan dalam membuat pelaburan dalam pendidikan. — Facebook
“Kalau tengok dalam sesi pembentangan bajet 2022, peruntukan untuk pendidikan hanya diberi kepada bayaran gaji guru dan kos membaiki sekolah.
“Sedangkan di negara maju, mereka berbelanja besar untuk memastikan setiap murid mendapat pendidikan yang terbaik supaya sumber manusia yang dihasilkan juga berkualiti,” katanya kepada Majoriti.
Menurut Dr Anuar, dia juga memaklumkan kebanyakan ibu bapa buat masa ini masih belum bersedia untuk menyediakan internet dan komputer kepada anak-anak.
Malah, katanya, data kajian oleh Kementerian Pendidikan juga menunjukkan sebanyak 1.85 juta pelajar tidak boleh meneruskan PdPR kerana tiada internet dan gajet.
“Dengan keadaan ekonomi sekarang, memang sukar buat ibu bapa mengeluarkan bajet untuk menyediakan peralatan untuk anak mereka.
“Sebenarnya, dalam pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sepatutnya pada 2020, setiap pelajar sudah mempunyai satu gajet.
“Tetapi usaha itu nampaknya sehingga kini hari ini masih tidak berjaya. Kerajaan masih gagal menyediakan apa yang dirancang,” katanya.
Tambahnya, disebabkan itu kerajaan perlu membuat pelaburan dalam pendidikan dan hasilnya akan diperoleh dalam jangka masa enam ke tujuh tahun akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram