Rakam OKT untuk 'content' TikTok, anggota penguat kuasa teruk dikecam


  • Tular
  • Jumaat, 03 Dis 2021

TANGKAP layar video tular yang menunjukkan seorang anggota penguat kuasa bermain TikTok ketika bertugas. — Facebook

SATU video tular memaparkan seorang anggota beruniform merakam dirinya di dalam kereta bersama orang kena tuduh (OKT) dan dimuat naik sebagai content aplikasi TikTok mendapat kecaman netizen.

Menerusi video TikTok berdurasi 39 saat yang tersebar di laman sosial Facebook itu, anggota penguat kuasa itu dilihat menulis kapsyen berbunyi, "Sila beri laluan ye... sis nak ke court (mahkamah) ni..,"

VIDEO tular seorang anggota penguat kuasa bermain TikTok ketika bertugas. — Facebook

Anggota penguat kuasa daripada sebuah kementerian itu kemudian memusingkan kamera telefon bimbit bagi merakam OKT wanita berbaju biru yang duduk di sebelah kanannya.

Selain merakam dirinya, wanita terbabit turut merakam keadaan di dalam kereta yang mana seorang lagi anggota penguat kuasa dilihat duduk di kerusi penumpang hadapan manakala di sebelahnya pemandu lelaki yang turut memakai pakaian seragam.

Rakaman video TikTok itu turut memperlihatkan keadaan trafik yang sesak dipercayai orang ramai yang memandu ke pejabat masing-masing memandangkan paparan skrin jam di papan pemuka kereta dinaiki mereka menunjukkan waktu pukul 7.20 pagi.

Bagaimanapun, kenderaan lain di atas jalan raya dilihat memberi laluan kepada kereta dinaiki untuk bergerak lancar ke hadapan memandangkan pemandunya membunyikan siren.

Kereta itu juga kelihatan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah sebaliknya memecut seperti biasa.

ss tiktok

TANGKAP layar sebahagian komen yang mengecam tindakan anggota beruniform itu bermain TikTok. — Facebook

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Encik Hafizal meninggalkan komen mengecam tindakan pegawai berkenaan bermain aplikasi TikTok ketika sedang bertugas.

"Nama sahaja pegawai (penguat kuasa). Sepatutnya kena lebih tahu la, ni nanti mula anak buah pun nak mengikut tergedik-gedik dalam TikTok.

"Siap tunjuk OKT (duduk) di sebelah lagi. Harap OKT saman je pegawai ni balik," tulisnya.

Video yang dimuat naik di laman Facebook Malaysian Crime Watch - MyWatch itu mendapat lebih 29,000 tontonan sejak tular pada malam Jumaat.

Kapsyen Malaysian Crime Watch - MyWatch pada hantaran video itu turut menegaskan bahawa bermain aplikasi Tik Tok ketika sedang bertugas dan menyarung uniform adalah suatu perbuatan yang menyalahi budaya kerja serta mencemarkan imej pasukan.

"Tidak kiralah jika anda dari PDRM (Polis Diraja Malaysia), ATM (Angkatan Tentera Malaysia), Jabatan Penjara, AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) dan sebagainya.

ss mywatch

TANGKAP layar kapsyen yang dimuat naik Malaysian Crime Watch - MyWatch bersama video TikTok itu. — Facebook

"Apatah lagi jika anda menjadikan wajah OKT/ OKP (orang kena pengawasan)/ suspek sebagai content video anda bagi menarik trafik melihatnya. Wanita di dalam video ini harus dikenakan tindakan tatatertib supaya lebih beringat di masa akan datang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram