Omicron sah masuk Malaysia! Kes pertama babit pelajar di Ipoh


  • Primer
  • Jumaat, 03 Dis 2021

KES pertama varian Omicron dikesan menerusi ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan terhadap sampel positif yang disaring di KLIA. — Gambar hiasan

SEORANG pelajar warga asing di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak menjadi kes positif Covid-19 varian Omicron pertama di Malaysia, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pelajar berusia 19 tahun itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021 dan telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Satu daripada sampel ujian PCR Genotyping Assay ke atas semua sampel positif yang disaring dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron.

"Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember 2021 (Khamis)," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Katanya, kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.

"Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti.

"Kes menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, beliau patuh kepada perintah yang dikeluarkan. Kes juga telah menerima vaksinasi lengkap dan tidak bergejala," katanya. — Majoriti

Menyusul...

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram