Misteri 'penunggu' pantai Lahad Datu, muncul kembali pada tarikh yang sama


  • Tular
  • Selasa, 23 Nov 2021

TANGKAP layar kejadian seekor buaya cuba membaham sekumpulan anjing di Pantai Felda Sahabat, Lahad Datu, pada Ahad lalu. — Facebook

SELEPAS dua tahun berita mengenainya tidak kedengaran, kelibat 'penunggu' pantai Lahad Datu akhirnya muncul pada tarikh sama ia dirakam membaham seekor anjing dalam kejadian pada 21 November 2019.

Dalam kejadian terbaharu itu, buaya penunggu itu, kali ini cuba membaham sekumpulan anjing di lokasi sama iaitu di Pantai Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah, dan aksinya berjaya dirakam oleh orang awam pada Ahad (21 November 2021).

Kemunculan reptilia gergasi itu di lokasi berkenaan berjaya dirakam seorang pengguna TikTok menggunakan nama @alamirsayed7, sebelum video berkenaan tular di WhatsApp dan Facebook.

Menerusi video tular itu, kelihatan sekumpulan enam ekor anjing yang berkeliaran di pantai, menyalak pada suatu 'objek' yang menghampiri pesisir pantai.

Dalam rakaman berdurasi 36 saat itu lagi, kelihatan buaya berkenaan muncul dari permukaan air secara tiba-tiba untuk menyerang kawanan anjing tersebut, namun gagal.

Ia kemudiannya menghilang dari permukaan air laut selepas dihambat orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Pengguna TikTok itu, Mohd Amir Hussin berkata, dia cuba untuk merakam buaya itu secara lebih dekat, namun ketika berlari menghampiri lokasi kejadian, reptilia itu menghilangkan diri ke dalam air laut.

"Ketika bersiar-siar di pesisiran pantai bersama anak-anak murid (tahfiz), live depan mata buaya besar di Pantai Sahabat dekat kawasan pantai Kampung Pangkalan cuba nak serang anjing tapi tak berjaya.

"Kami pula yang 'serang' buaya semasa nak cuba ambil rakaman secara dekat namun buaya pula lari. Rupanya 'buaya darat' lebih ditakuti oleh buaya air," tulisnya di Facebook.

Pesan Mohd Amir, jangan takut pada haiwan reptilia tersebut kerana ia juga adalah makhluk ALLAH.

Video yang dikongsinya itu tular sejak malam Isnin dan mendapat lebih 30,000 tontonan dan 635 perkongsian setakat petang Selasa.

Sebelum ini, kecoh kejadian buaya yang digelar penunggu pantai Lahad Datu membaham seekor anjing dalam satu kejadian pada 21 November 2019. Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.45 pagi itu disahkan Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram