Polis selamatkan tiga remaja bawah umur jadi hamba seks di Kulai


  • 112
  • Selasa, 09 Nov 2021

KETIGA-TIGA remaja di bawah umur itu diselamatkan dalam satu serbuan di sebuah premis kecantikan pada Isnin. — Gambar hiasan/Agensi

POLIS Johor menyelamatkan tiga remaja perempuan berusia 13 hingga 15 tahun, dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks bawah umur hasil serbuan di sebuah premis kecantikan dekat Kulai, Johor Bahru, Johor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Tok Beng Yeow berkata, premis yang terletak di Jalan Air Hitam Batu 21 itu, diserbu pihaknya pada pukul 2.40 petang.

"Dalam serbuan ini, kita berjaya menyelamatkan tiga remaja perempuan tempatan yang dipercayai terlibat dalam eksploitasi seks bawah umur dan kesemuanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Tambah Beng Yeow, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dan seorang wanita Indonesia berumur 29 tahun, dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran erta kedua-dua mereka juga didapati positif methamphetamine.

Menurutnya, antara barangan yang dirampas dalam serbuan berkenaan adalah tiga buah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM534.

Beliau berkata, lelaki dan wanita itu ditahan reman selama empat hari bermula Selasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 373 (1) (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram