Ahli Parlimen gesa benarkan pengeluaran KWSP 'one-off' RM10,000


  • Primer
  • Selasa, 09 Nov 2021

KWSP disaran supaya membenarkan pengeluaran RM10,000 secara 'one-off' kepada rakyat. — Gambar hiasan/Bernama

ISU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disentuh oleh dua Ahli Parlimen pada Selasa yang antaranya menyarankan kepada kerajaan supaya simpanan KWSP digunakan sebagai pilihan terakhir bagi membantu rakyat.

Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) berkata, kerajaan perlu menyediakan dana kerana KWSP adalah hak dan simpanan rakyat.

"Sejumlah 70 peratus daripada keluarga B40 serta 50 peratus daripada M40 yang mengeluarkan simpanan sebanyak RM5,000 ke bawah, dan (mereka) menyatakan pengeluaran itu hanya cukup untuk membantu selama tiga bulan sahaja.

"Jumlah pengeluaran ini sama dengan 20 peratus daripada kesemua stimulus kerajaan yang terkini,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu, Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula mencadangkan supaya KWSP melaburkan wang simpanan pencarum yang kurang daripada RM10,000 menerusi akaun satu ke dalam dana pelaburan ‘mutual’ berdasarkan persetujuan antara kedua-dua pihak.

"Saya juga mencadangkan mana-mana pencarum yang mempunyai (simpanan) lebih daripada RM100,000 dalam akaun satu diberikan kemudahan pengeluaran ‘one-off’ sebanyak RM10,000 dan ke atas.

"Ini penting dalam membantu keluarga Malaysia yang sangat memerlukan terutama pencarum M40,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram