3.6 juta ahli KWSP memiliki baki kurang RM1,000


  • Primer
  • Ahad, 31 Okt 2021

KWSP menasihati orang ramai agar mempertimbangkan sebarang pengeluaran dengan teliti pada masa akan datang.

SERAMAI 3.6 juta orang ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam akaun simpanan mereka.

Statistik berkenaan menunjukkan mereka lebih rentan dan berisiko tidak memiliki perlindungan persaraan.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh KWSP, isu berkenaan berlaku disebabkan kemudahan pengeluaran bersifat luar biasa seperti i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra yang diumumkan oleh kerajaan ketika tempoh pandemik Covid-19 menyebabkan sejumlah RM101 bilion dikeluarkan serta disalurkan kepada 7.4 juta ahli.

"Ia meskipun pengeluaran tersebut memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kejatuhan dalam jumlah simpanan ini ternyata lebih merisaukan untuk ahli Bumiputera, memandangkan seramai 78 peratus, atau lebih tiga perempat memohon untuk fasiliti pengeluaran tersebut.

“Akibatnya, seramai 4.4 juta atau 54 peratus, ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dan 2.0 juta atau 25 peratus, mempunyai kurang daripada RM1,000,” jelas kenyataan berkenaan pada Ahad.

Susulan itu, KWSP ketika ini fokus dalam membantu ahli membina semula simpanan demi masa depan persaraan mereka.

“Berikutan keperluan untuk melindungi masa depan ahli dan membina semula dana persaraan mereka, sebarang pengeluaran luar biasa tambahan pada masa hadapan perlu dipertimbangkan dengan teliti.

“KWSP berharap langkah-langkah yang dilaksanakan untuk menyokong pemulihan ekonomi dan merangsang pekerjaan akan membantu ke arah memenuhi keperluan rakyat,” menurut kenyataan itu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram