PERTIMBANGAN untuk tidak membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada Akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan bermaksud kerajaan tidak mampu tetapi lebih kepada memastikan keperluan semasa dan jangka panjang adalah simbang.
Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, beberapa pendedahan yang dibuat oleh KWSP menunjukkan dengan jelas kebanyakan rakyat tidak mempunyai wang persaraan yang mencukupi selepas bersara.
"Isunya bukan kerajaan tidak mampu tetapi lebih kepada berhati-hati kerana apa yang dikongsi oleh pihak KWSP adalah kebanyakan rakyat tidak mempunyai wang yang cukup di dalam akaun masing-masing.
"Boleh, mahu keluarkan semua (wang), tetapi perlu diingat apabila seseorang itu bersara kemudian hari, bagaimana jika wang itu tidak mencukupi untuk kos sara hidup, siapa pula hendak menanggung, kemampuan ketika itu juga kita tidak pasti," katanya dalam sesi perbincangan Forum Pasca Bajet 2022 secara dalam talian.
Forum tahunan anjuran Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (SEFB), bertujuan mengupas bajet yang dibentangkan oleh kerajaan setiap tahun.
Mohd Afzanizam berkata, menurut kajian KWSP, seseorang perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 dalam akaun itu untuk bersara berdasarkan faktor umur rakyat Malaysia yang semakin lama semakin panjang dan memerlukan perbelanjaan untuk hari tua.
"Jadi oleh sebab itu, saya rasa ada kekangannya (isu pengeluaran). Pihak KWSP cuba untuk memberikan pendidikan kepada rakyat supaya berhati-hati menggunakan wang tersebut," tambahnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram