[VIDEO] Hanya kerana berselisih bahu, tragedi tak terduga terjadi di stesen metro Perancis


  • Benua
  • Khamis, 29 Jan 2026

Tangkap layar CCTV memaparkan suspek (bulatan) merah menikam mangsa dari arah belakang. — Agensi

SEORANG lelaki nyaris maut selepas ditikam di leher oleh seorang lelaki tidak dikenali hanya kerana tidak sengaja berselisih bahu di sebuah stesen metro di Lyon, Perancis.

Kejadian mengejutkan itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) stesen metro Guillotière, Lyon, pada Ahad lalu, sejurus suspek turun daripada sebuah tren.

Rakaman CCTV yang mula tular pada Khamis itu menunjukkan suspek berjalan ke arah tangga sebelum secara tidak sengaja dilanggar mangsa.

BACA LAGI: ‘Siap ada anak kecil ya ALLAH’, lelaki terkejut polis beritahu homestay dijadikan markas penyamun

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita Puncak Alam bongkar modus operandi 'Mr. Ong' kononnya jadi wakil bos kutip duit jualan

Kedua-duanya dilihat sempat berbicara sesuatu sebelum suspek bertindak agresif dengan mengejar mangsa dan menikam lehernya menggunakan senjata tajam.

Suspek kemudian meninggalkan lokasi kejadian dengan tenang, manakala mangsa yang tercedera memegang lehernya sambil kelihatan keliru, dipercayai tidak menyedari dirinya ditikam.

Media tempatan Frontieres melaporkan, suspek melarikan diri sejurus selepas serangan dan kini sedang diburu polis.

 

 

 

 

Mangsa pula menerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke hospital.

Sumber memberitahu Frontieres bahawa mangsa terselamat dalam keadaan yang disifatkan sebagai satu ‘keajaiban’ dan hanya mengambil cuti sakit selama lima hari, namun tahap kecederaannya tidak didedahkan.

Sementara itu, Direction Interdepartementale de la Police Nationale (DIPN) mengesahkan siasatan sedang dijalankan.

"Penyiasatan telah dibuka dan semua unit digerakkan bagi mengesan pelaku," kata jurucakap polis kepada Lyon Mag.

Stesen metro Guillotiere yang terletak di pusat bandar Lyon berhampiran Sungai Rhone itu mula beroperasi pada 1991 dan merupakan antara kawasan tumpuan orang ramai.

Kejadian itu menambah senarai panjang insiden keganasan yang melanda Perancis sejak kebelakangan ini, ketika negara itu berdepan peningkatan jenayah terancang, rusuhan dan keganasan berkaitan dadah.

Pada November lalu, bandar Poitiers digemparkan dengan pertempuran bersenjata melibatkan kira-kira 400 ahli kumpulan jenayah, menyebabkan seorang remaja berusia 15 tahun maut ditembak di kepala, manakala empat lagi remaja cedera.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Bruno Retailleau, sebelum ini memberi amaran negara itu berada di 'titik genting' akibat keganasan berkaitan dadah, sambil menyatakan Perancis berisiko menjadi seperti Mexico yang terkesan teruk akibat keganasan kartel jika tindakan tegas tidak diambil.

Gelombang keganasan yang sebelum ini sinonim dengan bandar pelabuhan Marseille kini dilihat merebak ke bandar-bandar lain, termasuk melibatkan mangsa awam yang tidak bersalah.

Tahun lalu, Perancis turut dilanda rusuhan besar-besaran susulan kematian remaja berusia 17 tahun, Nahel M., yang ditembak mati polis di Paris, sekali gus mencetuskan kemarahan rakyat dan keganasan jalanan di seluruh negara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram