SEBUAH pesawat Smart Air jenis Caravan dengan nombor pendaftaran PK-SNS dilaporkan terhempas di perairan Nabire, Papua Tengah, Indonesia pada Selasa.
Difahamkan, insiden itu berlaku di kawasan Logpond Kaladiri.
Siasatan awal mendapati, pesawat berkenaan dalam perjalanan dari Nabire ke Kaimana, Papua Barat, membawa seramai 15 penumpang termasuk kru.
BACA LAGI: ‘Siap ada anak kecil ya ALLAH’, lelaki terkejut polis beritahu homestay dijadikan markas penyamun
Menurut Ketua Polis Nabire, Samuel Tatiratu, insiden berlaku sekitar pukul 12.45 tengahari waktu tempatan.
Samuel turut mengesahkan pesawat berkenaan terjatuh di kawasan perairan berhampiran pantai Nabire.
"Memang benar, pesawat milik Smart Air yang terbang dari Nabire ke Kaimana jatuh di perairan pantai.
"Alhamdulillah, semua penumpang dan kru dilaporkan selamat," kata Samuel ketika dihubungi wartawan.
27JAN2026: Pesawat Cessna Caravan C208B PKSNS yang dioperasikan Smart Cakrawala Aviation melalukan pendaratan darurat air di Nabire.
Menurut info yang diterima, pesawat sedang melakukan penerbangan dari Nabire ke Kaimana. Setelah lepas landas, pesawat mengalami gangguan mesin… https://t.co/E3046FMXrz pic.twitter.com/2CxEuvXJSu
— Gerry Soejatman (@GerryS) January 27, 2026
Melalui video dan gambar tular di laman media sosial menunjukkan bahagian badan pesawat berkenaan berada di dalam air.
Difahamkan, setakat berita ini ditulis, pasukan penyelamat dan pegawai keselamatan sudah pun berada di lokasi untuk memulakan operasi evakuasi dan memastikan keselamatan semua penumpang.
Beberapa perahu kecil digunakan untuk membawa penumpang dari kawasan pesawat ke daratan.
Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca sebenar kejadian. Pemeriksaan awal oleh pihak berkuasa tempatan sedang dijalankan, termasuk menilai keadaan teknikal pesawat dan faktor cuaca semasa penerbangan.
Seorang saksi yang tidak didedahkan namanya berkata, dia melihat pesawat itu seperti hilang kawalan sebelum terhempas ke air.
"Kejadian berlaku terlalu pantas. Kami nampak pesawat jatuh ke laut, tetapi semua penumpang selamat dibawa ke pantai," katanya.
Insiden itu turut menjadi perhatian pihak berkuasa kerana perairan Nabire sering dilalui pesawat kecil yang membawa penumpang antara bandar di Papua.
Kapal terbang jenis Caravan memang digunakan secara meluas bagi penerbangan jarak dekat di kawasan pedalaman kerana saiznya yang kecil dan kemampuan mendarat di lapangan terbang yang pendek.
Dalam perkembangan lain, Smart Air bersama pihak berkuasa tempatan sedang memantau situasi dan memberikan bantuan kepada penumpang serta kru. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
