TULAR di media sosial satu video yang memaparkan detik cemas beberapa penduduk di kawasan Bandang, Kabupaten Tapanuli Tengah, Sumatera Utara, Indonesia ketika cuba menyelamatkan seorang bayi selepas banjir besar melanda kawasan itu pada Rabu.
Rakaman yang dikongsikan portal Antara News di laman Tik Tok itu memperlihatkan suasana panik penduduk yang berusaha menyelamatkan diri dan harta benda ketika air semakin naik dengan cepat.
Dalam video tersebut, kelihatan seorang bayi diletakkan di dalam sebuah bekas plastik (container box) dipercayai sebagai usaha ibu bapanya untuk memastikan keselamatannya daripada dihanyutkan arus deras.
BACA LAGI: Tiada 'fear factor', polis Selangor sokong hukuman rotan dikembalikan demi disiplin pelajar
Bekas plastik itu kemudiannya dilihat hanyut di permukaan air sebelum seorang lelaki tampil bertindak pantas mengambilnya agar tidak terus dibawa arus.
Lebih mengharukan, bayi berkenaan ditemukan dalam keadaan lengkap dibalut selimut bagi mengelakkannya kesejukan di tengah situasi banjir yang semakin buruk.
Selepas berjaya mencapai bekas plastik tersebut, lelaki berkenaan dilihat membawa bayi itu ke kawasan lebih tinggi dan selamat dengan melalui bahagian atap rumah.
Tindakan spontan itu mendapat perhatian ramai kerana keberaniannya menyelamatkan nyawa bayi tersebut dalam keadaan persekitaran yang cukup berisiko.
Video yang tular itu turut menunjukkan keadaan sekitar kawasan kediaman penduduk yang sudah dinaiki air sepenuhnya, menggambarkan tahap kritikal banjir yang melanda wilayah berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
