RIBUT Tropika Senyar dijangka melanda pantai barat Semenanjung Malaysia malam Khamis di kawasan antara sempadan Selangor dan Perak, menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip.
Menurutnya, jalur awan pekat yang mengelilingi mata ribut sudah mula memasuki Semenanjung, menandakan permulaan episod hujan lebat yang dijangka berterusan dalam tempoh 24 jam akan datang.
“Ribut Tropika Senyar dijangka membawa angin sehingga 50 kilometer sejam, selain menghasilkan hujan berterusan yang boleh mencecah sekitar 300 milimeter (mm) apabila ia memasuki daratan,” katanya pada sidang media di MetMalaysia pada Khamis.
BACA LAGI: Polis Selangor sokong hukuman rotan dikembalikan demi disiplin pelajar
BACA LAGI: Mangsa banjir berdaftar di PPS dapat RM1,000 setiap keluarga, masuk terus akaun BSN — NADMA
Jelas beliau, sistem ribut itu sedang bergerak ke arah timur pada kelajuan kira-kira sembilan kilometer sejam, dengan pusat ribut kini berada pada kedudukan latitud 3.6° Utara dan longitud 100.4° Timur di perairan Selat Melaka.
MetMalaysia turut mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor mulai hari ini hingga Sabtu.
Untuk maklumat terkini, orang awam boleh melayari www.met.gov.my mengikuti media sosial rasmi MetMalaysia, menggunakan aplikasi myCuaca atau menghubungi Hotline MetMalaysia 1300-22-1638 yang beroperasi 24 jam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
