DUNIA sukan lasak tanah air hari ini kehilangan seorang figura yang cukup disegani selepas Razani Hussain disahkan menghembuskan nafas terakhir pada malam Khamis di Hospital Bachok, Kelantan.
Menurut laporan Stadium Astro, Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat penyakit barah yang dihidapinya.
Razani yang dianggap sebagai antara perintis sukan triatlon di Malaysia, meninggalkan legasi besar dalam dunia sukan lasak.
BACA LAGI: Toni Domgjoni masuk senarai 'skuad tanpa peluh' Liga Super
BACA LAGI: Liverpool beri kata dua buat Arne Slot, dapatkan 6 mata atau dipecat
Sehingga kini, Allahyarham masih berkongsi rekod Malaysia sub-10 jam bersama atlet Azuan Asmuni, pencapaian yang melambangkan kecekalan dan kemampuan luar biasa yang dimilikinya.
Pada era kegemilangannya, Allahyarham merupakan antara atlet paling disegani dalam cabang triatlon dan perlumbaan Ironman di Malaysia.
Allahyarham juga pemenang edisi sulung Kejohanan Triathlon Antarabangsa Port Dickson 1996, sekali gus menegaskan statusnya sebagai perintis sukan tersebut di negara ini.
Pemergian Allahyarham turut dirasai rakan seperjuangannya, Shamsurie Mohd Yatim, yang berkongsi coretan penuh penghargaan dan kenangan di laman Facebook.
"Terima kasih sahabat Muhamad Razani Husain kerana mewarnai Irpn Bound, Allahyarham merupakan generasi atlet terawal yang menyertai Iron Bound.
"Semoga Allah SWT merahmati dan mengampunkan segala dosa, Allahyarham yang banyak memberi semangat kepada saya di dalam industri penganjuran sukan lasak di peringkat awal saya melibatkan diri dalam industri ini," katanya.
Shamsurie turut mengenang pesanan Allahyarham yang pernah menjadi pemangkin kepada perjalanan kariernya dalam industri tersebut.
"Ada pernah dulu Allahyarham kata 'Sham ko kena buat race ini tiada org buat lagi,' Insya-ALLAH saya sudah tunaikan, tenanglah sahabat urusan dunia kau sudah selesai," kongsinya.
Shamsurie turut mengajak semua yang pernah terlibat dalam siri acara Iron Bound untuk sama-sama menghadiahkan doa dan Al-fatihah kepada Allahyarham.
"Sahabat-sahabat dan adik-adik yg pernah bersama-sama dengan event legenda Iron Bound ini, jom kita panjatkan doa dan Al-fatihah pada Allahyarham," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
