RAKAMAN video yang tular memaparkan seorang lelaki tidak sedarkan diri dilanggar jet ski di Sungai Melaka sebenarnya merupakan sebahagian daripada penggambaran sebuah produksi filem yang dijalankan pada 26 hingga 28 November lalu.
Menurut Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), hasil semakan dan pengesahan bersama pihak produksi, adegan tersebut telah dirancang lebih awal dan melibatkan pelakon serta kru profesional.
“Penggambaran dilaksanakan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan, dengan pemantauan dan kerjasama agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan,” kata PPSPM dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA LAGI: Tiada 'fear factor', polis Selangor sokong hukuman rotan dikembalikan demi disiplin pelajar
BACA LAGI: Ribut Tropika Senyar dijangka landa Semenanjung sehingga Ahad — MetMalaysia
Menurut kenyataan itu lagi, untuk memastikan keselamatan optimum, pasukan perubatan, petugas kesihatan dan ambulans turut berada di lokasi sepanjang penggambaran, bersedia menghadapi sebarang kecemasan atau kecederaan.
Oleh itu, PPSPM menasihati orang ramai agar tidak membuat tafsiran salah atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam.
Pada masa sama, perbadanan itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan semua aktiviti penggambaran di Sungai Melaka mematuhi piawaian keselamatan serta arahan pihak berkuasa, demi menjaga imej, kelestarian dan keselamatan kawasan pelancongan warisan negeri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
