[VIDEO] Nahas helikopter California, saksi dengar bunyi aneh sebelum terhempas


  • Benua
  • Ahad, 12 Okt 2025

Helikopter tersebut terhempas sekitar jam 2 petang waktu tempatan, berhampiran Hotel Hyatt Regency dan kawasan pantai yang sibuk dengan pengunjung. — Agensi

SEKURANG-KURANGNYA lima individu termasuk seorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital selepas sebuah helikopter terhempas berhampiran Pacific Coast Highway (PCH) di Huntington Beach, California, Amerika Syarikat pada Ahad.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku tidak lama selepas pukul 2 petang berhampiran kawasan tempat letak kereta di antara Beach Boulevard dan Twin Dolphins Drive.

Difahamkan, dua penumpang helikopter berjaya diselamatkan daripada serpihan pesawat, manakala tiga lagi mangsa merupakan pejalan kaki yang turut cedera akibat hentaman.

BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja pasar raya tergamak buat tak endah lihat wanita kemalangan motor

BACA LAGI: [VIDEO] Keluarga mohon maaf, wanita curi gula-gula Halloween di Kanada rupanya pesakit mental

Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital tempatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Bagaimanapun, setakat ini, keadaan mereka masih belum didedahkan kepada umum.

Jurucakap polis memaklumkan, laluan PCH antara Huntington Street dan Beach Boulevard ditutup sekitar pukul 3 petang bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan orang ramai dinasihatkan mengelakkan kawasan itu dan menggunakan laluan alternatif.

Rakaman tular di media sosial menunjukkan helikopter terbabit berpusing beberapa kali sebelum terhempas ke arah beberapa pokok palma dan tangga luar sebuah bangunan.

Seorang saksi, Kevin Bullat, memberitahu bahawa dia terdengar bunyi aneh sebelum melihat helikopter itu hilang kawalan dan serpihan bertaburan di sepanjang lebuh raya.

Kejadian tersebut berlaku bertepatan dengan penganjuran acara 'exclusive helicopter landing party' oleh MD Helicopters di Offshore 9 Rooftop Lounge apabila para tetamu dijadualkan menyaksikan ketibaan helikopter.

Meskipun insiden itu berlaku, pihak penganjur memaklumkan sebahagian daripada acara Cars ‘N Copters On the Coast tetap diteruskan seperti dirancang.

Dalam kenyataan rasmi, mereka menzahirkan simpati terhadap semua mangsa yang terlibat.

Helikopter yang terlibat dikenal pasti sebagai Bell 222, model dikeluarkan pada tahun 1980 yang menggunakan dua enjin turboshaft.

Punca kemalangan masih belum dikenal pasti dan siasatan kini dijalankan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) serta Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB).

Cuaca dilaporkan berada dalam keadaan baik semasa kejadian berlaku dengan pihak berkuasa kini menumpukan usaha untuk mengenal pasti punca sebenar nahas dan memastikan keselamatan ruang udara tempatan terus terjamin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram