KUKU yang dijaga rapi bukan sekadar simbol kecantikan, tetapi juga mencerminkan disiplin dan keyakinan diri seseorang wanita.
Dunia moden kini menyaksikan semakin ramai wanita menjadikan rawatan kuku sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan diri, sama ada untuk kelihatan kemas ketika bekerja mahupun sekadar menikmati masa rehat selepas hari panjang.
Bagi pengasas salon kecantikan, Nailsmith Spa & Bar, Nik Azura Datuk Nik Aminaldin, pemilihan gaya kuku perlu disesuaikan dengan gaya hidup, terutama bagi wanita aktif dan bekerja.

Nikky Azura mengasaskan Nailsmith Spa & Bar pada 2015.
Menurutnya, bukan semua rekaan kuku sesuai dipakai setiap hari, justeru keseimbangan antara gaya dan praktikaliti perlu diutamakan.
"Untuk wanita aktif atau bekerja, saya cadangkan kuku pendek berwarna neutral atau nude.
"Ia nampak kemas, tahan lama dan praktikal untuk kegunaan harian.
"Kalau mahu tampil lebih bergaya, boleh pilih accent nail art pada satu atau dua jari saja atau gaya French manicure kerana ia tampil klasik dan tidak keterlaluan," katanya kepada Majoriti.
Ibu kepada enam orang anak itu berkata, trend terkini dalam kalangan wanita Malaysia kini banyak dipengaruhi oleh gaya bersih dan minimal yang dikenali sebagai clean aesthetic.
"Antara rekaan yang menjadi pilihan ialah milky nails, glazed donut nails dan chrome effect.
"Pada masa sama, gaya hand-drawn dengan elemen peribadi juga semakin digemari kerana dianggap lebih eksklusif dan mampu mencerminkan personaliti seseorang," ujarnya yang gemar disapa sebagai Nikky.

Dengan hujung putih klasik, French manicure menawarkan gaya profesional yang sesuai untuk penampilan harian. — Gambar hiasan/Media sosial
Beliau yang juga lulusan Brunel University West London turut mengakui wanita kini jauh lebih berani bereksperimen berbanding dahulu.
"Jika dulu warna nude atau pastel menjadi pilihan utama, kini ramai yang mencuba warna metalik, ombre, tiga dimensi (3D) dan bentuk kuku lebih panjang seperti almond dan ballerina," jelasnya menambah, perubahan itu menunjukkan penerimaan masyarakat terhadap kreativiti dalam dunia kecantikan kuku semakin terbuka.
Bukan itu sahaja, Nikky turut menekankan bahawa perubahan terbesar dalam industri terlibat juga melibatkan lelaki.
"Lelaki kini sangat peka dan prihatin dengan kebersihan serta penjagaan kuku. Ia bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah turut menekankan aspek kebersihan diri," jelasnya.
Mengulas tentang penjagaan pula, Nikky menyarankan agar wanita melakukan rawatan manicure atau pedicure sekali setiap dua hingga tiga minggu bagi memastikan kuku kekal sihat dan rapi.
Jelasnya, ia bukan sahaja membantu mengekalkan bentuk kuku dan kelembapan kutikel, tetapi juga mengelakkan masalah kuku rapuh atau rosak.
Bertanyakan tentang kesilapan yang sering dilakukan dalam penjagaan kuku di rumah, beliau menjelaskan bahawa satu kesilapan biasa yang ramai lakukan ialah menanggalkan gel polish sendiri tanpa teknik yang betul.
"Perbuatan itu boleh merosakkan permukaan kuku dan menyebabkan ia menjadi nipis serta mudah pecah.
"Ramai juga lupa untuk memakai cuticle oil dan memberi masa kuku ‘bernafas’ antara sesi manicure," ujarnya.
Bagi mereka yang gemar menukar warna atau rekaan kuku dengan kerap, Nikky menasihatkan agar lebih peka terhadap produk dan teknik yang digunakan.
“Gunakan polish warna berkualiti tinggi sama ada gel atau biasa.
“Bagi yang kerap buat gel color, teknik soak-off yang betul sangat penting untuk elak kuku jadi nipis.
"Sapuan base coat dan nail strengthener juga membantu melindungi kuku daripada rosak," katanya.

Menanggalkan gel polish sendiri tanpa teknik betul boleh merosakkan permukaan kuku dan menjadikannya nipis serta mudah rapuh. — Gambar hiasan/Freepik
Selain itu, beliau juga sempat berkongsi mengenai cabaran buat indivividu yang berkecimpung dalam dunia kecantikan kuku.
Akuinya, ia bukan pekerjaan mudah seperti yang disangka ramai.
“Ramai nampak hasil akhir yang cantik, tapi tak tahu kerja ini perlukan ketelitian, kesabaran dan ketahanan fizikal,” ujarnya.
“Kami perlu sentiasa peka dengan trend terkini supaya terus relevan dan mampu beri hasil yang digemari pelanggan.”
Tambahnya lagi, beliau turut berkongsi bahawa waktu paling sibuk bagi salonnya adalah menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Krismas.
"Lepas musim perayaan, suasana biasanya lebih perlahan. Tapi pelanggan setia tetap datang untuk rawatan berkala sebab mereka anggap manicure dan pedicure ini sebahagian daripada rutin penjagaan diri," kongsinya.
Nikky dalam masa sama berpesan kepada wanita agar tidak memandang ringan soal penjagaan kuku.
"Kita selalu jaga kulit dan rambut, tapi ramai lupa kuku juga perlukan nutrisi dan perhatian.
"Kecantikan kuku bukan sekadar hiasan, tapi cerminan bagaimana kita menjaga diri sendiri dengan kasih sayang dan keyakinan," katanya menutup bicara.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
