[VIDEO] 'Saya tak akan minta maaf sebab beragama Islam', Datuk Bandar baharu New York sedia cabar Presiden Donald Trump


  • Benua
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Zohran Mamdani (kanan) bergambar bersama isterinya, Rama Duwaji selepas dipilih sebagai Datuk Bandar New York yang ke-111. — Agensi

AHLI politik muda progresif, Zohran Mamdani mencatat sejarah apabila dipilih sebagai Datuk Bandar New York yang ke-111, menjadikannya Muslim pertama yang menerajui kota terbesar Amerika Syarikat (AS) itu.

Calon Demokrat berusia 34 tahun itu menewaskan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo dan calon Republikan, Curtis Sliwa dalam pilihan raya yang turut dianggap sebagai referendum terhadap hala tuju politik Amerika di bawah pentadbiran Donald Trump.

Dalam ucapan kemenangan penuh bersemangat di Brooklyn, Mamdani, 34, menegaskan beliau tidak akan bersembunyi di sebalik identiti dan prinsip yang dipegangnya selama ini.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Anak demam tak boleh tidur', bapa kesal individu main telefon kuat-kuat dalam wad walau dah ditegur

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya berjanji tiada lagi gimik berunsur keganasan', Yusuf Azmi mohon maaf insiden babit peserta bawah umur

“Saya muda. Saya seorang Muslim. Saya seorang demokrat sosialis dan yang paling penting, saya enggan minta maaf untuk semua itu,” katanya disambut sorakan gemuruh para penyokong.

Beliau turut menegaskan bahawa New York akan terus menjadi kota yang dibina, digerakkan dan kini dipimpin oleh golongan imigran.

"New York dibina oleh imigran, digerakkan oleh imigran dan malam ini, ia secara rasmi dipimpin oleh seorang imigran.

"Dengar sini Presiden Trump, untuk sampai kepada kami, kamu perlu berdepan dengan kami semua,” katanya tegas.

 

 

 

Simbol keberanian dan kebangkitan komuniti Islam

Kemenangan Mamdani dilihat sebagai simbol kebangkitan serta keberanian baharu bagi komuniti Muslim dan imigran di Amerika Syarikat yang selama ini berdepan pelbagai stigma dan diskriminasi.

Seorang pengundi, Sumaiya Chowdhury, dari Queens, tidak dapat menahan air mata selepas menunaikan tanggungjawabnya di pusat mengundi.

"Saya menangis sebaik selesai mengundi. Saya tak pernah terbayang seorang Muslim boleh menjadi Datuk Bandar New York," katanya penuh emosi.

Kempen Mamdani yang berpaksikan keadilan sosial dan suara rakyat bawahan turut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat pelbagai latar belakang termasuk komuniti Bangladesh, Pakistan, Arab dan Afrika.

Beliau juga menumpukan isu utama rakyat seperti kos sara hidup yang semakin tinggi, perumahan mampu milik serta ketidaksamaan sosial yang menghimpit golongan pekerja dan keluarga berpendapatan rendah.

Namun begitu, Mamdani menegaskan kemenangan ini bukan sekadar untuk dirinya, sebaliknya milik semua rakyat yang selama ini tidak diberi peluang bersuara.

"Kemenangan ini bukan hanya tentang saya. Ia tentang setiap insan yang pernah dipinggirkan, setiap keluarga yang pernah diketepikan dan setiap suara yang selama ini tidak didengari," katanya.

Kemenangan Zohran Mamdani juga bukan sekadar sejarah peribadi, tetapi turut menandakan perubahan besar dalam landskap politik Amerika suara Muslim dan golongan imigran kini semakin dihormati dan diterima. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram