Wanita gusar kakak ipar nak 'tumpang' tinggal di rumah, alasan enggan menyewa sendiri, suami PJJ


  • Cinta
  • Khamis, 16 Okt 2025

Seorang wanita meluahkan kebimbangan berlakunya pertengkaran besar apabila terpaksa tinggal sebumbung dengan kakak iparnya. — Gambar Hiasan

SEORANG wanita meluahkan kegusaran apabila kakak iparnya yang sedang hamil berhasrat menumpang tinggal di rumahnya kerana enggan lagi menyewa rumah.

Luahan jujur menerusi Facebook itu menarik perhatian ramai warga maya, terutamanya golongan isteri yang pernah tersepit dilema serupa.

Menurut wanita berkenaan, segalanya bermula apabila ibu mentua menghubungi beliau untuk memaklumkan bahawa kakak kepada suaminya itu ingin menumpang di rumah mereka.

“Mak mentua telefon, katanya, kak long nak tumpang rumah sebab dah tak larat nak sewa bilik. Dia sekarang PJJ (perhubungan jarak jauh) dengan suami yang kerja di Johor dan tengah mengandung anak kedua,” tulisnya.

BACA LAGI: Cinta berputik sejak remaja, suami isteri pencipta Barbie dan Hot Wheels ubah dunia permainan kanak-kanak

BACA LAGI: Nenek sempoi 'join' anak main 'skateboard', tak kekok pamer gaya bebas

Wanita itu bagaimanapun berasa serba salah kerana permintaan itu bukan disampaikan oleh kakak ipar , tetapi melalui ibu mentua disifatkan sebagai cara ‘memancing simpati’.

“Dia tahu saya jenis susah nak tolak mak mentua. Itu dia guna mak dia,” katanya.

Walaupun suaminya bersetuju membenarkan kakak sulungnya menumpang, wanita berkenaan tetap berasa tidak senang.

Katanya, beliau sudah dapat menjangka pelbagai kesulitan mungkin timbul apabila tinggal serumah nanti termasuk dari urusan dapur, bilik tidur, hinggalah soal penjagaan anak.

“Saya jenis fikir jauh. Kak long kerja syif, ada anak kecil pula. Kalau pengasuh pindah nanti, siapa yang kena tengokkan anak dia? Saya juga. Dah satu kerja pulak nak menambah beban,” luahnya.

Lebih membimbangkan, wanita itu beranggapan kakak iparnya bersikap suka mengarah dan gemar mengawal cara orang lain menguruskan rumah.

“Saya tak suka orang usik barang dapur saya. Kak long ni pula macam ‘manager’, semua nak ikut cara dia. Serabut nanti,” ujarnya.

Bukan semua pasangan berumahtangga selesa tinggal bersama adik-beradik dan ipar duai. —  Gambar hiasan/Canva

Katanya lagi, tinggal sebumbung dengan ipar bukan hanya soal ruang atau kewangan, tetapi juga risiko pergeseran keluarga yang boleh menjejaskan hubungan suami isteri.

“Kalau ada masalah, mesti dia mengadu dekat mak mentua. Situ lah punca aib rumah tangga terbuka. Duduk dengan ipar ibarat menempah bala,” katanya.

Wanita itu mengakui dirinya kini serba salah kerana bimbang dianggap kejam selepas menolak permintaan tersebut.

Namun, beliau lebih memilih untuk menjaga ketenangan rumah tangganya sendiri.

Menjengah ke ruangan komen, ramai bersetuju bahawa tindakan untuk menolak permintaan itu adalah tepat dan berani, lebih-lebih lagi apabila sudah tahu perangai ipar yang bakal menumpang.

Siti Johariah menegaskan bahawa keputusan paling selamat ialah jangan benarkan langsung, walaupun niat asal mungkin nak membantu.

“Dia pun kerja. Suami dia pun kerja. Masing-masing ada gaji. Kalau duduk serumah memang banyak masalah. Bukan tumpang semalam dua. Awak pun dah bayang apa akan berlaku. Rasanya sangat tak payah,” katanya.

Siti mengingatkan bahawa masalah yang wanita itu bayangkan bukan angan-angan, tapi potensi realiti dan lebih baik elak dari awal.

Mahfuzah Yusoff pula tampil dengan ayat yang jadi ‘penampar lembut’ tapi padat makna/

“Baik bergaduh sekarang, jangan bergaduh kemudian. Bergaduh kemudian lagi banyak hati yang sakit dan emosi tercalar," katanya.

Baginya, kalau nak jaga hubungan baik jangka panjang, lebih baik jujur dari awal walaupun nampak macam ‘jahat’ sekarang.

Nor Azizah Mohamed yang sudah melalui pengalaman pahit tinggal dengan ipar menyokong penuh wanita itu.

Beliau sendiri pernah rasa rumah sendiri macam rumah orang apabila ipar tinggal serumah.

“Macam saya, rumah sewa saya punya. Tapi bila ada masalah, seolah-olah saya pula yang menumpang. Nasib baik masa tu rumah baru dah siap, suami ajak pindah walaupun rumah masih kosong. Dia takut isterinya naik hantu... lagi teruk efeknya!”

Farhana Mohammad pula beranggapan tidak salah membantu, asalkan tidak memakan diri sendiri.

Ini kerana, beliau sendiri pernah ‘tersangkut’ menjaga adik ipar sehingga rumah tangga sendiri diganggu.

“Baik jangan. Tapi kalau nak membantu sangat, tolong carikan rumah sewa yang dekat. Kalau nak jaga anak akak tu, minta upah macam pengasuh lain.”

Nur Ain Nadia pula mengangkat satu poin yang ramai tak cakna iaitu kesihatan mental seorang isteri.

“Rumahku syurgaku. Jangan jadikan rumah neraka pula. Dia PJJ ke, mengandung ke, itu hal dia. Sepatutnya suami dia yang ambil kisah. Kita ini perempuan, penat mental fizikal. Pendam perasaan, lama-lama meletup, lagi bahaya," katanya.

Bintang Hati pula lantang bersuara tentang tanggungjawab sebenar seorang suami dan bukan suami orang lain.

“Suami dia wajib sediakan tempat tinggal untuk dia, bukan suami awak atau pun awak. Cukup situ sahaja. Lagi satu, nampak macam dah plan nak tinggal anak kat awak. Kalau tak nak ada masalah dengan suami sendiri, elakkanlah. Banyak masalah kemudian nanti,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram