
TULAR sebuah video yang memaparkan seorang wanita dipercayai warga India, mencuri gula-gula Halloween yang disediakan khas untuk kanak-kanak di Kanada baru-baru ini.
Video yang kembali tular sejak Rabu telah mencetuskan kemarahan dan kecaman dalam kalangan warga maya pelbagai lapisan masyarakat.
Insiden tersebut dipercayai berlaku di kawasan perumahan Cornell, Markham, Ontario, Kanada semasa sambutan Halloween tahun lalu yang lazimnya diraikan dengan penuh meriah di seluruh Amerika Utara.
BACA LAGI: Kehilangan Iker Undabarrena akhirnya terjawab, anggap alami musim ‘menakjubkan’ bersama JDT
Namun, kemeriahan tersebut dicemari dengan tindakan tidak bermoral apabila wanita terbabit dikesan bergerak dari satu rumah ke rumah lain.
Dia dipercayai mencuri bukan sahaja gula-gula, malah turut mengambil hiasan lampu Halloween yang diletakkan di hadapan rumah.
Menerusi rakaman yang dikongsi di akaun media sosial @mynewshub, wanita tersebut dilihat mengenakan pakaian tradisional India, Salwar Kameez dan tanpa rasa bersalah mengambil gula-gula yang dikhaskan untuk aktiviti 'trick-or-treat' kanak-kanak.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu mencetuskan kebimbangan tentang sikap segelintir individu yang mencemarkan nilai murni dan semangat komuniti dalam perayaan seperti Halloween khususnya yang bertujuan menggembirakan kanak-kanak.
Bagaimanapun, seorang ahli majlis bandar Markham, Andrew Keyes menjelaskan bahawa wanita berkenaan menghidap gangguan kesihatan mental dan keluarganya telah memohon maaf atas kejadian tersebut.
“Insiden itu meninggalkan impak buruk terhadap keluarga pelaku yang terkesan dengan cemuhan dilontarkan. Jadi, saya berharap komen sebegitu tidak lagi diberikan,” katanya.
Bagaimanapun, peringatan dibuat menerusi sosial media Keyes itu sudah dipadam selepas tidak dapat meredakan amarah masyarakat di kawasan terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram