[VIDEO] Pekerja pasar raya tergamak buat tak endah lihat wanita kemalangan motor


  • Benua
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Tangkap layar menunjukkan mangsa terjatuh di kawasan parkir namun tiada pekerja pusat beli-belah berkenaan yang tampil membantu.

SEORANG wanita mendakwa mengalami kecederaan patah tulang selepas tergelincir di lantai basah kawasan parkir sebuah pusat membeli-belah terkenal di kawasan Chidlom, Bangkok dan menuduh kakitangan premis tersebut enggan menghulurkan bantuan.

Insiden itu menjadi tular selepas mangsa berkongsi video di media sosial yang menunjukkan air bertakung di permukaan lantai licin di kawasan parkir dalam bangunan berkenaan.

Menurutnya, permukaan lantai yang berkilat dan basah menyebabkan dia tergelincir sehingga mengalami kecederaan serius.

BACA LAGI: Sistem ‘tap card’ masuk tandas UTC Kedah memang canggih, tapi ada yang bijak ambil kesempatan

BACA LAGI: [VIDEO] Skil tipu baki tak menjadi, taktik cuba perdaya penjaga kedai runcit 'makan diri'

“Saya minta bantuan daripada kakitangan, tapi mereka berlalu pergi, sedangkan ketika itu tulang saya sudah patah,” katanya dalam hantaran tersebut.

Wanita itu turut meluahkan rasa kecewa bukan sahaja terhadap keadaan parkir yang berbahaya tetapi juga terhadap sikap tidak peduli kakitangan.

Dalam catatannya, dia mendakwa seorang pekerja pada awalnya menawarkan untuk mendapatkan bantuan, namun kemudian meninggalkannya untuk membantu pemandu lain.

Kejadian itu mencetuskan gelombang kecaman dalam kalangan warga maya yang menuduh pihak gedung berkenaan gagal menunjukkan tanggungjawab terhadap keselamatan pelanggan.

Ramai juga menggesa wanita tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan.

“Pusat beli-belah besar seperti ini biasanya mempunyai insurans. Kalau tersadung lantai tak rata pun boleh buat tuntutan,” komen seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna media sosial yang mendakwa mengenali lokasi berkenaan berkata lantai parkir tersebut memang terkenal licin, terutama apabila basah dan isu keselamatan itu telah pernah dibangkitkan sebelum ini, lapor Bangkok Post.

Setakat ini, pihak pusat beli-belah berkenaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut.

Kejadian itu sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan pelanggan dan tahap latihan kakitangan di pusat membeli-belah besar, dengan ramai menggesa penguatkuasaan lebih ketat terhadap protokol keselamatan, terutama ketika musim hujan di Thailand apabila lantai basah mudah menjadi punca kemalangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram