[VIDEO] Sorok di sebalik sari, pasangan suami isteri selamba rompak kalung emas bernilai RM34,000 di siang hari


  • Benua
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Tangkap layar si wanita dengan tenang menyeludup dua utas rantai dengan meletakkan barang perhiasan itu di sebalik sari yang dipakainya.

TINDAKAN berani sepasang suami isteri yang berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah kedai barang kemas di Bulandshahr, Uttar Pradesh, India terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengesan perbuatan mereka.

Rakaman CCTV premis berkenaan mendedahkan modus operandi licik pasangan suami isteri tersebut yang difahamkan mencuri barang kemas bernilai sekitar 6 juta lakh (RM34,000).

Dalam kejadian tersebut, pasangan berkenaan dilaporkan memasuki premis berkenaan pada waktu siang dan berpura-pura menjadi pelanggan dengan meninjau beberapa utas rantai emas.

BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa pondok runtuh tenang berbual dengan penyelamat, tetap tunaikan solat 5 waktu walau tidak berdaya

BACA LAGI: [VIDEO] Masjid runtuh selepas solat Asar, pelajar sekolah pondok di Indonesia menjerit 'Allahuakbar' tersepit tahan kesakitan

Namun, si wanita dengan tenang menyeludup dua utas rantai dengan meletakkan barang perhiasan itu di sebalik sari yang dipakainya tanpa disedari kakitangan kedai.

Rakaman CCTV yang diperoleh menunjukkan wanita tersebut menyembunyikan kotak barang kemas di atas pangkuannya sebelum meletakkan semula satu daripadanya di kaunter sambil menyorokkan yang lain ke dalam sari.

Bukan itu sahaja, dia turut kelihatan menyeludup beberapa utas rantai lain ke bawah lengannya, manakala pasangannya mengalih perhatian jurujual dengan bertanyakan harga.

Kecurian itu hanya mengambil masa beberapa minit sahaja sebelum pasangan tersebut difahamkan meninggalkan kedai dengan alasan tidak menjumpai barangan yang sesuai.

Kakitangan kedai langsung tidak mengesyaki sebarang tindakan mencurigakan dan hanya menyedari kehilangan barang kemas tersebut ketika pemeriksaan inventori rutin dilakukan.

Selepas kejadian terbongkar, pihak pengurusan kedai segera menyerahkan rakaman CCTV kepada pihak polis tempatan dengan pihak berkuasa kini sedang giat mengesan identiti serta keberadaan kedua-dua suspek bagi membawa mereka ke muka pengadilan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram