
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mencipta sejarah apabila mula mengikuti kuliah neurosains di sebuah kolej berhampiran tempat tinggalnya di Montgomery County dekat Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS).
Aiden Wilkins, murid istimewa yang kini berada di peringkat sekolah menengah, memulakan pengajian di Ursinus College.
Walaupun masih kecil, Aiden sudah lama menunjukkan kecerdasan luar biasa apabila mampu membaca papan tanda jalan raya seawal usia dua tahun.
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni
“Saya boleh baca tanda-tanda itu ketika umur dua tahun, sedangkan kebanyakan kanak-kanak sebaya saya masih belum boleh bercakap. Saya cepat tangkap benda-benda macam itu.
“Beberapa tahun kemudian, saya ambil ujian murid pintar. Rupanya memang saya ada bakat,” katanya kepada 6 ABC.
Aiden masih bersekolah di sebuah sekolah menengah tempatan, namun kini mengikuti kelas neurosains beberapa kali seminggu di Ursinus bagi menambah ilmu dan mempersiapkan dirinya mencapai cita-cita untuk menjadi pakar bedah saraf pediatrik.
“Sejak umur tiga tahun, saya selalu menonton video anatomi dan setiap kali nampak otak, saya rasa sangat terpesona,” katanya kepada NBC 10 Philadelphia.
Jelas Aiden lagi, dia memilih untuk bekerja dengan kanak-kanak kerana mahu jadi pakar bedah saraf pediatrik.
"Saya suka membantu kanak-kanak sebaya saya. Rasa sedih tengok mereka ada masalah saraf, jadi saya mahu tolong mereka,” ujarnya.
Ibunya, Veronica Wilkins, melahirkan rasa bangga terhadap anaknya yang merupakan pelajar termuda pernah mendaftar di kolej berkenaan.
Namun, apa yang lebih bermakna baginya adalah kerana anak itu dihargai sebagai dirinya yang sebenar.
“Ia sangat mengujakan sebab dia sedang mencipta sejarah, dan dia rasa dihargai. Saya rasa penting sangat bila seseorang itu dapat dilihat dan didengari.
“Saya benar-benar bangga dengan Aiden sebab semuanya datang daripada dirinya sendiri. Semuanya semula jadi.
"Saya hanya di belakang tabir dan dialah yang berusaha untuk capai apa yang dia mahu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Penolong Provost Hal Ehwal Akademik Ursinus College, Kelly Sorensen, mengimbau kembali kali pertama Aiden hadir ke kolej itu pada bulan Mac lalu.
“Dia datang dengan sut dan tali leher kemas, penuh rasa ingin tahu serta teruja untuk berbual tentang sel glial, neuroplastisiti malah juga Shakespeare.
"Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan Aiden yang luar biasa seperti dirinya. Cabaran kami adalah memastikan mindanya yang sentiasa dahagakan ilmu baharu,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram