[VIDEO] Wanita terkejut lahirkan kembar 5, hasil imbasan hanya tunjuk 4 janin


  • Benua
  • Rabu, 24 Sep 2025

Tangkap layar Nuraeni berkongsi pengalaman luar biasanya itu menerusi sebuah rakaman video dari katil hospital.

SEBUAH video menyentuh hati dan penuh keajaiban tular semula di media sosial apabila seorang ibu di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia melahirkan lima bayi kembar (quintuplet) meskipun pemeriksaan awal hanya menunjukkan empat janin.

Wanita berkenaan, Nuraeni berkongsi pengalaman luar biasanya itu menerusi sebuah rakaman video dari katil hospital.

Dalam keadaan masih keletihan tetapi tetap tersenyum bahagia, dia menceritakan perjalanan kehamilan yang penuh kejutan sejak awal pemeriksaan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami tak boleh berhenti selagi golfer masih main', kedi wanita luah perasaan lepas rakan maut disambar petir

BACA LAGI: [VIDEO] Lubang benam sedalam 50 meter 'telan' kereta depan hospital di Bangkok, disyaki berkait projek laluan tren bawah tanah

Menurut Nuraeni, hasil ultrasonografi (USG) pada usia kandungan empat bulan menunjukkan hanya tiga janin.

"Waktu baru 4 bulan itu ada tiga," katanya yang kemudian memberitahu pemeriksaan berikutnya pada usia lima bulan pula mendedahkan empat janin dan keputusan itu kekal sama hingga kandungan mencecah tujuh bulan.

"Keluarga dan doktor sudah bersedia untuk menyambut empat bayi," jelasnya kepada media yang melaporkan kejadian itu pada tahun lalu.

Namun, takdir ALLAH SWT mengatasi jangkaan apabila proses kelahiran memperlihatkan kejutan terbesar apabila lima bayi selamat dilahirkan, satu lebih daripada yang dijangka.

 

 

"Semasa saya melahirkan, ada lima bayi keluar,” katanya sambil tersenyum lebar dan menggambarkan keajaiban yang dialami.

Video yang memaparkan kelima-lima bayi comel sedang dirawat dalam inkubator semakin menyentuh hati warganet.

Setiap inkubator memaparkan kad identiti, termasuk satu kad bertulis By. Nuraeni Q5 dengan difahamkan Q5 merujuk kepada istilah perubatan bagi kembar lima.

Fenomena kelahiran kembar lima secara semula jadi amat jarang berlaku di seluruh dunia, apatah lagi tanpa sebarang rawatan kesuburan.

Kisah Nuraeni pantas menjadi tular dengan akhirnya mengundang banjir ucapan tahniah dan doa agar bayi-bayi berkenaan membesar dengan sihat, menjadi anak-anak yang soleh serta solehah.

Meskipun peristiwa berkenaan setahun lepas, ia masih menjadi peringatan indah bahawa meskipun teknologi perubatan semakin maju, tetapi kuasa ALLAH SWT dan keajaiban tetap melangkaui segala jangkaan manusia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram